PETALING JAYA – Penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini merupakan komitmen berterusan kerajaan untuk melindungi rakyat daripada kesan kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu juga memperkukuh kedudukan kewangan negara dan mengurus cabaran global.
“Memastikan manfaat negara sampai terus kepada setiap lapisan masyarakat untuk dinikmati bersama.
“Marilah kita terus bersatu padu untuk memastikan ekonomi negara terus kukuh. Berupaya berhadapan cabaran mendatang demi melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, Kerajaan Madani tidak berdiam diri dalam menghadapi landskap global yang sarat dengan ketidaktentuan.
Kata beliau, Kerajaan Madani malah mengambil langkah berani, adil dan menyeluruh bagi memastikan kos sara hidup tidak menekan rakyat. – KOSMO! ONLINE