KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada hari ke-11 dilaksanakan secara ‘in camera’ atau tertutup bermula hari ini kerana melibatkan saksi kanak-kanak.
Hanya mereka yang terbabit secara langsung dalam kes itu termasuk pihak berkepentingan, pegawai undang-undang daripada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan Kementerian Pendidikan selaku pemerhati dibenarkan menyertai prosiding berkenaan.
Walaupun tiada perintah larangan pelaporan (gag order) dikeluarkan oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan sepanjang prosiding berlangsung, beliau berulang kali mengingatkan semua pihak termasuk media supaya mematuhi peruntukan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Bagi tempoh beberapa hari akan datang, Mahkamah Koroner dijadual mendengar keterangan lebih 30 saksi dalam kalangan kanak-kanak daripada jumlah 68 saksi yang disenaraikan.
Seramai lapan saksi dewasa termasuk pakar patologi forensik dan Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar memberi keterangan dalam prosiding bermula pada 3 September lalu.
Kosmo! Online pada Jumaat lalu melaporkan prosiding inkues pada Isnin akan dijalankan secara tertutup kerana membabitkan saksi-kanak-kanak. Hanya Koroner, jurubahasa mahkamah dan pihak-pihak berkepentingan dibenarkan masuk ke dalam dewan mahkamah.
Menurut Koroner Amir Shah, saksi kanak-kanak akan ditempatkan di dalam bilik saksi dan akan ditemani seorang pendamping dan seorang jurubahasa mahkamah.
Saksi kanak-kanak diletakkan di hadapan kamera, jurubahasa akan duduk di sebelah saksi dan membantu menunjukkan bukti kepada saksi. Seorang pendamping kanak-kanak akan duduk di belakang saksi kanak-kanak supaya dapat dilihat dengan jelas dalam kamera.
Pihak-pihak terlibat juga dibenarkan untuk memakai baju biasa (bukan hitam dan putih) bagi mengelakkan saksi kanak-kanak berasa takut atau tertekan. – KOSMO! ONLINE