fbpx
Gambar ihsan UPM.

75 individu dicekup ceroboh hutan simpan tanpa permit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seramai 75 individu dicekup selepas dikesan menceroboh masuk ke kawasan Hutan Simpan Ayer Hitam di sini tanpa permit dalam satu operasi penguatkuasaan khas pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad dalam satu kenyataan berkata, operasi yang dikenali sebagai Ops Jejak 2 itu dilaksanakan oleh Seksyen Penguatkuasaan Hutan, Eco Park dan Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor bersama beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kesemua suspek ditahan kira-kira pukul 11 pagi kerana didapati memasuki hutan simpan kekal Bukit Wawasan tanpa Borang 6 seperti diperuntukkan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan 1985.

“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut dan telah dibebaskan dengan jaminan Jabatan Perhutanan,” katanya.

Menurut beliau, orang awam dilarang sama sekali memasuki hutan itu untuk tujuan riadah kerana kawasan tersebut dikhaskan untuk penyelidikan dan pembelajaran oleh pihak UPM.

“Hanya satu laluan sahaja dibenarkan untuk orang awam iaitu Trek Hutan 1 sepanjang 2.8 kilometer yang bermula di kaki Bukit Wawasan, Persiaran Bukit, Pusat Bandar Puchong,” katanya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI