KUCHING – Selangor FC terus dipalit satu lagi kekalahan dan kali ini tewas 0-1 kepada Kuching City pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, sebentar tadi.
Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut The Red Giant kepada The Cats di Kuching dan lebih perit, tiga mata itu membolehkan tuan rumah memintas Selangor FC untuk berada di tangga keempat Liga Super dengan tujuh mata.
Keputusan kali ini pastinya menghadirkan kegusaran kepada penyokong dan barisan kejurulatihan Selangor FC selepas turut tewas 2-4 kepada Bangkok United dalam saingan Liga Juara-Juara 2 (ACL2), Khamis lalu.
Tuan rumah yang masih segar dengan kemenangan besar 7-1 ke atas DPMM FC di pentas Piala FA nyata menjadi pasukan lebih baik apabila menguasai aksi di babak pertama.
Disebalik beberapa peluang terbaik yang tercipta oleh tuan rumah, minit ke-39 The Cats terima kejutan apabila pemain tengahnya, Danial Amier Norhisham dilayangkan kad merah.
Bagaimanapun hukuman itu ditarik semula selepas pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yasin Tuan Mohd Hanafiah melakukan pemeriksaan semula Video Bantuan Pengadil (VAR).
Selain kecemerlangan Haziq Nazli di pintu gol tuan rumah, kombinasi Petrus Shitembi dan Moses Atede di bahagian tengah nyata menjadikan Kuching City lebih selesa untuk menggerakan serangan
Selangor FC seperti membiarkan Kuching City untuk mencipta banyak peluang dan hasilnya, minit ke-68 Ramadhan Saifullah berjaya merobek gawang pelawat yang dikawal oleh Kalamullah Al-Hafiz. – KOSMO! ONLINE