fbpx
Jeti di pangkalan haram Kubor di Pengkalan Kubor, Tumpat yang menjadi laluan penyeludup dan kegiatan rentas sempadan bakal dirobohkan sepenuhnya Oktober ini. – ROHANA ISMAIL

Pangkalan haram 50 tahun tinggal sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Imej negatif yang sering dikaitan dengan kawasan sempadan di Sungai Golok bakal terhakis selepas 153 daripada 212 jeti atau pangkalan haram di situ mula dirobohkan Oktober ini sekali gus mengekang kegiatan penyeludupan yang berakar umbi sejak lebih 50 tahun lalu.

Melalui kawalan yang ketat, perobohan pangkalan di sepanjang 106 kilometer bermula dari Pengkalan Kubor di sini hingga Rantau Panjang, Pasir Mas itu sudah tentu merubah lanskap kawasan tersebut yang sebelum ini meriah dengan aktiviti rentas sempadan secara haram.

Walaupun kerja merobohkan jeti haram hanya akan bermula pertengahan Oktober, penduduk di Kampung Pulau Ular di sini mendakwa perubahan landskap itu sudah berlaku sejak 1 Disember tahun lalu iaitu selepas pe­nguatkuasaan ketat oleh Pasukan Gerakan Am.

Halim, 47, mendakwa, ia memaksa penduduk mematuhi arahan agar tidak menyeberangi Sungai Golok tanpa pasport ke­rana mereka bimbang didenda RM10,000 seorang.

“Memang ada penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Golok menjadi penyeludup dan bekerja dengan sindiket.

“Ada yang sudah tiga generasi bermula daripada datuk, bapa dan anak menjadi penyeludup barangan makanan dari Thailand terutamanya beras.

“Apabila pangkalan haram dirobohkan, sudah pasti pekerjaan harian mereka lenyap. Jadi, tiada lagi kegiatan rentas sempadan secara haram dijalankan,” kata­nya kepada Kosmo!.

Menurut Halim, dia tidak dapat bayangkan kawasan Sungai Golok tanpa kegiatan penyeludupan selepas ini kerana sudah melihat aktiviti itu sejak kecil.

Tambahnya, dia bersetuju dengan usaha kerajaan untuk merobohkan pangkalan haram itu kerana kes-kes penyeludupan dadah dan senjata api dilihat tidak terkawal.

“Penduduk tidak bimbang dengan penyeludupan beras atau barangan kontraban. Kita bimbang apabila sindiket menyeludup dadah yang merosakkan remaja,” katanya.

Sementara itu, seorang pemilik jeti nelayan di Kampung Su­ngai Ular di sini, Shafie, 75, berkata, dia berharap usaha kerajaan itu dapat mengurangkan kegiatan rentas sempadan.

Menurutnya, jeti miliknya yang digunakan untuk menambat bot nelayan disalah guna oleh sindiket untuk menyeludup beras dan membawa masuk pendatang asing tanpa izin.

“Saya sebenarnya agak terkilan apabila jeti hendak dirobohkan. Jeti saya digunakan untuk nelayan, tetapi ada pihak lain guna untuk menyeludup.

“Pada masa sama, saya gembira kerana kegiatan haram sejak berpuluh tahun akan lenyap selepas ini. Kebanyakan penduduk mahu imej Sungai Golok dapat dibersihkan semula di mata pihak luar kerana sebelum ini sinonim dengan kegiatan yang tidak baik sahaja,” katanya.

Seorang lagi penduduk Hus­sin, 65, berkata, ada juga jeti yang dibina menggunakan perun­tukan kerajaan.

Katanya, sebelum ini, nelayan setempat memohon peruntukan daripada kerajaan untuk membina jeti bagi penempatan bot.

“Kerajaan boleh merobohkan jeti di Kampung Sungai Ular ke­rana dibina dengan peruntukan mereka. Apabila dirobohkan selepas ini, penduduk yang terlibat dengan kegiatan penyeludupan akan mencari pekerjaan lain.

“Kami juga sudah tidak mahu bersekongkol dengan penyeludup yang akhirnya akan memberi kesan tidak baik kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kerja perobohan akan dilakukan di jeti yang dibina atas tanah kerajaan terlebih dahulu.

“Selepas itu baru jeti di pangkalan haram milik individu.

“Kita juga akan membuat penyelarasan sebelum melakukan kerja meroboh pangkalan haram milik persendirian,” katanya.

Katanya, semua kerja-kerja meroboh sudah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian yang akan dilakukan Oktober ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN