LIVERPOOL – Kekuatan mental terus menjadi nadi utama kepada Liverpool yang berjaya memacu kemenangan 2-1 Liverpool pada aksi derbi Merseyside ke atas seteru setempat, Everton di Anfield kelmarin.
Pengurus The Reds, Arne Slot turut mengakui anak buahnya sudah pun berdepan keletihan kerana terpaksa berdepan jadual perlawanan padat, namun mentaliti pemain kekal menjadi kelebihan buat Liverpool meraih kemenangan.
“Sekali lagi kami memerlukan kekuatan mentaliti walaupun ia sedikit berbeza berbanding sebelum ini. Kami tahu betapa sukarnya perlawanan kali ini, apatah lagi kami tidak mempunyai tempah persiapan yang rapi.
“Apabila kami terpaksa bermain tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari, kami tahu separuh masa kedua akan menjadi sukar dan ini adalah perlawanan paling sengit dalam ketiga-tiga aksi kami harungi.
“Dalam 45 minit pertama, kami bermain dengan cukup baik, sebaliknya berlaku di babak kedua. Kami sudah pun kehabisan tenaga namun mentaliti kami tidak pernah habis,” katanya.
Pada perlawanan itu, dua gol Liverpool dijaringkan oleh Ryan Gravenberch dan Hugo Ekitike, manakala jaringan tunggal Everton terhasil menerusi Idrissa Gueye.
Keputusan itu menyaksikan The Reds masih kebal dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini apabila berjaya mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan dalam lima aksi awal untuk mendahului carta liga. – AGENSI