PETALING JAYA – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengakui Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat seperti ada perbezaan dalam isu calon Perdana Menteri.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, perkara itu bagaimanapun masih dalam ruang lingkup perbincangan antara kedua-dua parti tersebut.
“Itupun kerana masing-masing baru melalui Perhimpunan Agung Tahunan yang memberi ruang ahi bersuara, itu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ahmad Fadhli membidas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook kerana menyifatkan Pas mahu jadi dominan dalam pakatan politik.
Menurut beliau, Pas tidak pernah menggerakkan ahli-ahlinya untuk membuat laporan polis ke atas Bersatu seperti DAP lakukan terhadap pemimpin UMNO.
Kata beliau, DAP sebelum ini menggerakkan ahli-ahlinya membuat laporan ke atas Ketua Pemuda UMNO sedangkan kedua-dua parti itu dalam kerajaan.
“Tidak ada pimpinan utama UMNO ke depan secara rasmi pertahankan Ketua Pemuda apabila diserang (dan dimalukan) oleh DAP. Bukankah itu bermaksud dominannya DAP?
“Itu belum lagi mengambil kira beberapa Bahagian UMNO di Wilayah Persekutuan isytihar secara rasmi putus hubungan dengan DAP. Siapa yang berkonflik? Rumah siapa sedang runtuh?,” katanya. – KOSMO! ONLINE