WASHINGTON – Presiden Donald Trump menandatangani arahan eksekutif mengenakan bayaran AS$100,000 (RM420,000) untuk setiap permohonan visa pekerjaan H-1B, lapor portal berita TRT World semalam.
Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Howard Lutnick berkata, syarikat yang memohon membawa masuk pekerja dari luar negara melalui visa H-1B perlu membuat bayaran setiap tahun bagi setiap visa.
Lutnick membuat kenyataan itu di pejabat rasmi Presiden AS, Oval Office di White House semasa Trump menandatangani proklamasi untuk menyusun semula sistem visa.
Visa H-1B pada mulanya diwujudkan bagi menarik tenaga kerja asing terbaik dan paling bijak untuk mengisi jawatan berkemahiran tinggi dan sukar diisi oleh warganegara atau penduduk tetap AS.
Namun, program itu kini dilihat sebagai saluran untuk pekerja luar negara yang sanggup menerima gaji serendah AS$60,000 (RM252,000) setahun bekerja di AS.
Jumlah gaji itu jauh lebih rendah berbanding bayaran melebihi AS$100,000 setahun yang dibayar kepada pekerja teknologi tempatan.
Program itu diwujudkan pada tahun 1990 untuk individu yang mempunyai ijazah sarjana muda atau lebih tinggi dalam bidang dianggap sukar dipenuhi, khususnya sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Pengkritik-pengkritik berkata, program itu membolehkan syarikat membayar gaji lebih rendah dengan perlindungan buruh yang terhad.
Berdasarkan sejarah, visa H-1B kebanyakannya diberikan kepada warga India melalui kaedah pemilihan secara rawak.
Tahun ini, Amazon menjadi penerima visa H-1B terbesar dengan lebih 10,000 kelulusan, diikuti oleh Tata Consultancy, Microsoft, Apple dan Google. – AGENSI