KHARTOUM – Lebih 70 orang terbunuh dalam serangan dron menyasarkan sebuah masjid di wilayah Darfur, Sudan, demikian menurut sumber perubatan kepada Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Serangan semalam di bandar El-Fasher itu didakwa dilakukan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF), namun RSF tidak mengaku bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.
RSF dan tentera Sudan terlibat dalam perang saudara yang dahsyat dan berlarutan lebih dua tahun.
Seorang penduduk tempatan memberitahu BBC bahawa serangan dron itu berlaku ketika jemaah menunaikan solat Subuh, menyebabkan berpuluh-puluh orang terkorban di tempat kejadian.
Sumber perubatan berkenaan pula berkata, seramai 78 orang terkorban dan kira-kira 20 lagi cedera, namun usaha mengeluarkan mayat dari dalam runtuhan bangunan masih diteruskan setakat kelmarin.
Sementara itu, BBC mengesahkan rakaman video menunjukkan sekitar 30 jenazah dibalut kain kafan dan selimut di sebelah masjid yang terletak di barat bandar tersebut sebagai korban serangan dron.
RSF semakin menguasai kawasan sekitarnya dalam usaha mereka untuk menawan sepenuhnya bandar El-Fasher yang menjadi kubu terakhir tentera Sudan di Darfur.
Bandar itu menjadi tempat tinggal lebih 300,000 orang awam yang terperangkap dalam pertempuran antara RSF dan tentera Sudan.
Minggu ini, RSF melancarkan serangan baharu ke atas El-Fasher yang telah dikepung selama lebih setahun.
Laporan menyatakan ia termasuk serangan hebat ke atas Abu Shouk iaitu sebuah kem pelarian berhampiran bandar itu. – AGENSI