fbpx
Allahyarham Muhammad Hakif sempat memuat naik hantaran terbaharu di TikTok berkaitan kematian (gambar kecil) beberapa jam sebelum kemalangan.

‘Zaman sekarang mati tak kira umur, tempat dan masa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Seorang pelajar tingkatan tiga sempat memuat naik video TikTok dengan gambar kubur dan peringatan mengenai kematian beberapa jam sebelum maut bersama rakan baiknya dalam kemalangan di Kampung Wakaf King, Berangan di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu, Muhammad Hakif Dani Muhammad Nakman, 15, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala rakannya, Mohamad Ikram Pakarudin Yusri, 15, menghembuskan nafas di Hospital Tumpat di sini.

Bapa kepada Muhammad Hakif, Muhammad Nakman Mat Ali, 46, berkata, anaknya itu membonceng motosikal dengan Mohamad Ikram dipercayai dalam perjalanan ke sebuah festival yang dianjurkan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah kereta.

“Beberapa jam sebelum kejadian, dia ada memuat naik video beserta gambar kubur dengan tulisan ‘zaman sekarang mati tak kira umur, tempat dan masa’. Selepas solat maghrib dan dia ada meminta izin untuk ke Kota Bharu bersama rakan, saya sudah melarang namun, arwah tetap keluar rumah selepas saya terlelap dan tidur,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Tumpat di sini hari ini.

Sementara itu, bapa kepada Mohamad Ikram, Yusri Yusof, 51, berkata, dia reda dengan pemergian anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Menurutnya, arwah sebelum ini kerap bermain dan mendukung adik bongsunya yang berusia tiga tahun selain banyak termenung.

Jenazah Muhammad Hakif dan Mohamad dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Neting di sini petang ini.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN