TUMPAT – Seorang mudir di sebuah pondok, di sini dicekup buat kali ketiga bagi membantu siasatan berkait kes amang seksual fizikal terhadap seorang pelajarnya.
Menurut sumber, suspek yang berusia 46 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang remaja berusia 16 tahun yang merupakan pelajar di madrasah tersebut.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, dekat sini pada 11 September lalu atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki dan memiliki gambar lucah pada Jun 2024 hingga 20 Ogos lalu.
Mudir itu membayar jaminan sebanyak RM45,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu saksi dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Lelaki itu kemudian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu semalam atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun.
Suspek membayar ikat jamin sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu. – KOSMO! ONLINE