PORT DICKSON – Cadangan beberapa badan kerajaan (NGO) untuk menukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat setempat.
Sebahagian pihak melihatnya sebagai usaha mengangkat identiti bangsa, manakala ada yang menolak kerana bimbang menjejaskan sektor pelancongan dan ekonomi.
Bagi seorang peniaga kereta sewa, Sharifah Umamah Syed Mustaffa, 29, dia secara peribadi menyokong penuh penukaran nama itu kerana Port Dickson dianggap simbol peninggalan penjajah British.
“Nama ini bukan milik kita. Selagi kita terus guna, selagi itu kita seakan masih berada di bawah bayangan mereka. Kita sepatutnya angkat nama warisan bangsa,” katanya.
Bagaimanapun, pandangan itu berbeza dengan peniaga pakaian di Pantai Telok Kemang, Mahane Mohamad, 64, yang melahirkan kebimbangan perubahan nama lokasi popular itu boleh menjejaskan punca rezeki mereka.
“Pelancong sudah lama kenal nama Port Dickson. Kalau tukar, mereka akan keliru dan perniagaan di sini mungkin terjejas. Bagi saya lebih penting kerajaan tumpu kepada baik pulih kemudahan yang rosak,” katanya.
Penduduk Telok Pelandok, Mohd Hafiz Yahya, 40, pula mengambil pendekatan sederhana dengan beranggapan penukaran nama boleh diterima jika dilaksanakan dengan rapi.
“Kalau tukar kepada Pantai Dermaga, singkatan PD tetap ada. Tetapi kerajaan perlu pastikan tidak menjejaskan aktiviti pelancongan atau ekonomi di kawasan ini,” katanya.
Selasa lalu, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) menggerakkan usaha mengumpul petisyen bagi menukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga selari dengan usaha menyingkirkan nama-nama peninggalan penjajah.
NGO terlibat ialah Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam, Ikatan Muslimin Malaysia, Gabungan Nasionalis dan Majlis Perundingan Melayu.














