LONDON – Tottenham Hotspur membawa misi penting apabila turun menentang Brighton di Stadium Amex malam ini dengan impian untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam tempoh tujuh hari.
Spurs kini berada di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas bangkit cemerlang menewaskan West Ham United 3-0 sebelum mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Villarreal dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Rabu lalu.
Pengurus Spurs, Thomas Frank jelas berpuas hati dengan disiplin anak-anak buahnya yang hanya bolos satu gol dalam 450 minit aksi kompetitif dalam semua kejohanan musim ini.
Rekod awal musim juga cukup meyakinkan apabila Spurs menang kedua-dua perlawanan di gelanggang lawan dengan agregat 5-0 dan mereka kini berpeluang mengulangi pencapaian era di bawah Jose Mourinho pada 2020 apabila menang tiga aksi berturut-turut di tempat lawan.
Bagaimanapun, Stadium Amex bukan destinasi mudah kerana Spurs pernah tumbang dalam dua kunjungan terakhir ke sana, termasuk kekalahan 1-4 musim lalu.
Namun, sejarah turut memihak kepada Frank yang hanya sekali kalah dalam enam pertemuan terakhir menentang Brighton ketika beliau mengendalikan Brentford sebelum ini.
Di kem lawan, Brighton pula masih bergelut dengan konsistensi, selepas mengejutkan Manchester City 2-1 sebelum rehat antarabangsa apabila tewas 1-2 kepada Bournemouth minggu lalu meskipun Kaoru Mitoma kembali menjaringkan gol.
Kini, Spurs dilihat memiliki kelebihan besar dengan momentum semasa, selain motivasi untuk membalas dendam selepas tewas dalam kedua-dua pertemuan liga musim lalu kepada Brighton yang membolosi gawang mereka tujuh kali. – AGENSI