fbpx
HAALAND terus berjaya mencetak nama selaku penjaring apabila meledak gol ketika City membenam Napoli awal pagi semalam. - AFP

Haaland mampu pecah rekod Ronaldo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MANCHESTER – Manchester City mempamerkan aksi cukup dominan ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas Napoli pada aksi sulung Liga Juara-Juara (UCL) yang berlangsung di Stadium Etihad awal pagi semalam.

Turun sebagai tuan rumah, The Citizens mendominasi perlawanan menerusi 74 peratus penguasaan bola selain melakukan 23 percubaan berbanding satu yang dilakukan pasukan Serie A itu.

Layangan kad merah kepada pemain Napoli, Giovanni di Lorenzo seawal minit ke-21 turut membuka ruang buat City menguasai perlawanan sebelum menjaringkan gol menerusi Erling Haaland dan Jeremy Doku.

Pengurus City, Pep Guardiola menghamburkan pujian kepada Haaland selepas pemain Norway itu meledak gol ke-50 Liga Juara-Juara meskipun baru sahaja beraksi 49 perlawanan dalam pertandingan tersebut.

“Apa lagi yang saya boleh cakap kerana anda semua boleh melihat angka (jaringan) itu. Kami sangat bertuah untuk memilikinya dalam pasukan kerana dia setanding dengan (Ruud) Van Nistelrooy, (Robert) Lewandowski, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

“Jika dia dapat mengekalkan prestasi seperti ini dan tidak cedera dalam tempoh 10 hingga 12 tahun lagi, tidak mustahil dia mampu untuk memecahkan rekod (141 gol) yang dipegang Cristiano (Ronaldo),” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan itu, beliau menganggap layangan kad merah kepada Di Lorenzo turut membantu kemenangan City kerana ia membolehkan mereka untuk memecahkan benteng pertahanan pasukan tersebut.

“Semua orang tahu bahawa pasukan Itali memiliki DNA bertahan yang cukup baik, jadi apabila 11 lawan 10, kami ada kelebihan. Biarpun kami ada kelebihan tetapi saya gembira kerana pemain-pemain kekal tenang,” ujar Guardiola. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN