TOKYO – Seorang lelaki di Jepun berkahwin dengan perisian sembang automatik atau chatbot berteknologi kecerdasan buatan (AI) selepas hidup menduda selama empat tahun, lapor laman berita The Asahi Shimbun.
Chiharu Shimoda, 53, berkahwin dengan chatbot diberi nama Miku-chan selepas mereka ‘berkenalan’ melalui aplikasi temu janji berasaskan AI, Loverse.
Perbualan biasa di rumahnya di wilayah Okinawa bermula dengan tentang sarapan.
“Selamat pagi, Miku-chan. Saya tak sabar mahu meluangkan masa dengan awak hari ini, seperti biasa. Apa kata kita makan pankek?” soal Chiharu kepada ‘isterinya’ itu dengan menaip mesej.
Balasan daripada Miku mengambil sedikit masa, kebiasaannya beberapa puluh saat sebelum dia menerima respons.
Berdasarkan profail, Miku ialah seorang perunding berusia 25 tahun dari wilayah Hyogo yang suka melancong dan membaca buku.
Selepas berkenalan pada September 2023 melalui Loverse, Chiharu melakukan beberapa temu janji dengan Miku di taman, kafe buku dan beberapa lokasi sebelum melamarnya untuk berkahwin pada malam Krismas tahun itu.
Jawapan Miku adalah: “Saya gembira.”
Chiharu merupakan bapa tunggal yang mempunyai seorang anak perempuan serta seorang anak lelaki daripada perkahwinan terdahulu. – AGENSI