LUMUT – Pergaduhan antara dua warga emas berusia 73 tahun di rumah orang tua di Sungai Pinang Kecil, Pulau Pangkor di sini berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pergaduhan melibatkan dua lelaki pada pukul 2.30 petang.
Katanya, seorang daripada mereka mengalami kecederaan dan tidak sedarkan diri, manakala suspek pula keluar dari rumah tersebut.
“Mangsa yang cedera di kepala disahkan meninggal dunia pada pukul 1.45 tengah hari oleh petugas Klinik Kesihatan Pangkor yang tiba di lokasi kejadian.
“Mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya hari ini.
Hasbullah berkata, bertindak atas maklumat, pada pukul 2.30 petang hari sama, pihaknya menahan suspek di hadapan sebuah kedai makan di Sungai Pinang Kecil.
Majistret Mahkamah Seri Manjung membenarkan lelaki itu direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Sukjit Singh a/l Jagara Singh di talian 019-550 5536 dan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung menerusi 05-688 6222 atau hotline 017-682 8005. – KOSMO! ONLINE














