BANDAR GAZA – Lima orang terbunuh, manakala sebilangan lagi cedera apabila serangan udara tentera Israel mengenai sebuah kenderaan yang membawa penduduk Palestin yang melarikan diri dari Bandar Gaza, lapor laman berita Middle East Eye semalam.
Serangan berlaku berhampiran Masjid al-Katiba di Kota Lama, barat Gaza, menyebabkan ia terbakar.
Rakaman video di lokasi kejadian menunjukkan kepulan asap tebal naik dari kenderaan tersebut ketika orang awam menjerit dan bergegas membantu mangsa.
Beberapa orang kelihatan terbaring tidak bergerak di atas tanah dalam keadaan berlumuran darah dan cedera akibat letupan, manakala yang lain berusaha memadamkan api.
Dalam video lain, orang ramai berkumpul mengelilingi serpihan kenderaan yang hangus terbakar akibat serangan itu.
Media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam serangan tersebut, termasuk kanak-kanak dan wanita.
Serangan tersebut merupakan antara beberapa insiden di mana tentera Israel menyasarkan kenderaan orang awam di Gaza sejak bermulanya pembunuhan beramai-ramai di wilayah Palestin itu. – AGENSI