KUANTAN – Peneroka Felda Bukit Goh bersepakat menimbang tiga tawaran iaitu pembangunan semula ladang, pembangunan bercampur dan projek solar sebagai usaha menjamin keuntungan mampan untuk diwariskan kepada generasi baharu.
Ketua Peneroka, Ahmad Faizal Ramli berkata, perbincangan yang kini dibuat secara bancian dalam kalangan peneroka bagi mendapatkan keputusan konsensus sebelum sebarang langkah dimuktamadkan.
“Hasrat kami bukan untuk jadi orang kaya segera. Sebaliknya, peneroka mahu membangunkan tanah ladang dengan cara lebih berdaya maju supaya keuntungan dinikmati secara berterusan dan diwarisi anak cucu.
“Banyak perkara perlu diperhalusi termasuk hak pemilikan, status pewarisan serta jaminan kelangsungan masa depan,” katanya di sini semalam.
Ahmad Faizal berkata, setiap keputusan yang akan dibuat mengambil kira tiga aspek utama iaitu kepentingan peneroka, generasi baharu dan pulangan kepada Felda selaku agensi yang membangunkan tanah rancangan berkenaan.
“Felda Bukit Goh mempunyai sejarahnya sendiri sejak dibuka lebih setengah abad lalu. Maka, apa sahaja keputusan tidak boleh dibuat terburu-buru kerana ia akan menentukan hala tuju hidup peneroka dan waris akan datang,” katanya.
Felda Bukit Goh yang dibuka sekitar tahun 1966/1967 merupakan antara tanah rancangan terawal di Pahang dengan keluasan lebih 4,000 hektar, kini didiami lebih 600 keluarga peneroka.
Ahmad Faizal menegaskan, bancian yang dijalankan merupakan proses penting untuk memastikan semua peneroka mempunyai suara dan tidak ada pihak yang ketinggalan dalam membuat keputusan.
“Kita mahu sebarang langkah yang diambil mencerminkan kehendak majoriti peneroka Bukit Goh, bukannya kerana desakan luar atau keputusan segelintir pihak sahaja,”katanya.















