fbpx
Rabiah memeriksa keadaan barangan elektrik di rumahnya yang terjejas banjir kilat di Felda Chiku 1, Gua Musang hari ini. Foto oleh AIMUNI TUAN LAH / KOSMO!

Hujan lebat 15 minit, rumah penduduk berlumpur banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Hujan lebat selama 15 minit yang melanda tanah rancangan Felda Chiku 1 dan Felda Chiku 2 di sini menyebabkan 174 buah rumah terjejas ekoran banjir kilat semalam.

Hujan lebat bermula pada pukul 5 petang itu menyebabkan air tidak dapat mengalir ke kawasan sungai. Kejadian banjir kilat itu dilaporkan paling buruk yang pernah berlaku di kedua-dua penempatan tersebut.

Seorang mangsa, Rabiah Mamat, 54, berkata, sepanjang tinggal di Felda Chiku 1, kejadian banjir kilat yang berlaku semalam adalah yang terburuk baginya kerana keseluruhan rumahnya tenggelam.

Katanya, dia tidak sempat menyelamatkan barangan dan terpaksa keluar dari rumah sehelai sepinggang selepas air di dalam rumah naik hingga ke paras dagu.

“Saya ke belakang rumah untuk melihat keadaan paras air sebelum mendapati banjir yang berlaku kelihatan seperti air terjun apabila limpahan air masuk ke dalam rumah dengan pantas.

“Dalam sekelip mata air penuh di bahagian dapur dan kami tidak sempat menyelamatkan barangan. Arus air sangat deras dan habis barangan rumah termasuk peralatan elektrik tenggelam dalam air lumpur,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Relai Selatan, Norfadzlete Aryani Mat Rosli pula berkata, kebanyakan peneroka yang tinggal di kawasan itu sejak 44 tahun lalu juga menyifatkan bencana banjir kilat itu adalah yang terburuk.

“Sebanyak 174 buah rumah di Felda Chiku 1 dan Felda Chiku 2 terlibat dalam banjir kilat kali ini. Ada sebahagian penduduk yang berlindung di pusat pemindahan sementara di Dewan Semai Bakti Felda Chiku 2 pulang untuk melihat rumah selepas air surut kira-kira pukul 8.30 malam tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN