KANGAR – Seorang fasilitator motivasi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang pelajar sekolah pada Julai lalu.
Tertuduh, Mohd Zulkarnain Atan, 44, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Kes tersebut didengar di hadapan Majistret Ana Rozana berikutan ketiadaan hakim Mahkamah Sesyen.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyentuh alat sulit mangsa lelaki berusia 14 tahun di dewan sebuah sekolah menengah di Padang Besar pada pukul 9 pagi, 10 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Lelaki itu didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa sama di lokasi dan masa sama.
Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Tengku Ruqayyah turut memohon supaya tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Ayuni Ahmad bagaimanapun merayu satu jaminan yang minimum kepada tertuduh.
“Tertuduh tinggal di Kota Tinggi, Johor. Dia bekerja sebagai fasilitator motivasi dengan pendapatan tidak tetap. Dia merupakan duda, menanggung ayah yang sudah tua dan menjaga kakak yang merupakan ibu tunggal,” katanya.
Menurutnya, tertuduh turut menghidap penyakit jantung, asma dan masalah tulang belakang. Tertuduh tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan dengan mangsa.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Setakat ini tertuduh tidak membayar jaminan.
Pada 2 Februari tahun lalu, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas dua tuduhan mencabul kehormatan dua penuntut lelaki sebuah universiti awam di negeri itu.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. – KOSMO! ONLINE














