fbpx
FAZIDAH menunjukkan dinding rumahnya yang terhakis selepas dibadai ombak besar di Tanjung Dawai.

‘Rumah kami boleh runtuh bila-bila masa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – “Setiap hari kami bimbang, rumah ini boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja.”

Demikian luahan penduduk Kampung Huma di Tanjung Dawai, Fazidah Abdul Khalib, 59, mengenai ancaman hakisan sehingga menyebabkan dinding rumahnya terhakis akibat dibadai ombak sejak sebulan lalu.

Katanya, keadaan bertambah teruk apabila air turut masuk ke dalam rumahnya yang terletak hanya dua meter (m) dari laut, berbanding 300m sebelum berlakunya hakisan tersebut.

“Ini rumah peninggalan arwah suami, tetapi sekarang saya berasa seperti tidak selamat tinggal di sini. Air pasang besar menghakis dinding, jadi air laut masuk ke dalam rumah.

“Bila ombak besar menghentam dinding pada musim angin barat daya sekarang, saya sekeluarga tidak dapat melelapkan mata kerana bimbang akan keselamatan masing-masing,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Menurut ibu tujuh anak itu, barangan seperti pe­rabot, mesin basuh dan peti sejuk rosak akibat terkena air laut.

“Saya juga terpaksa membuang pakaian yang terendam dalam air kerana rosak dan berbau busuk,” katanya.

Fazidah berkata, dia tidak mempunyai pilihan untuk berpindah kerana tidak mempunyai kediaman lain dan hanya me­nyerahkan nasibnya kepada Allah selain mendoakan agar dijauhi daripada musibah.

Penduduk lain, Elan Hashim, 65, pula berkata, bahagian dapur rumahnya turut terkesan kerana kerap dibadai ombak.

“Di belakang rumah tiada benteng penahan ombak seperti di kampung sebelah, jadi bila ombak besar datang, ia menghentam belakang rumah saya.

“Dalam sebulan ini, sudah dua kali berlaku kejadian ombak besar membawa air laut setinggi dua meter. Keadaan menjadi bertambah teruk jika berlaku angin kencang dari laut,” katanya.

Bagi Roshidi Md. Noor, 37, kehidupan dia sekeluarga kini ibarat ‘telur di hujung tanduk’ apabila hakisan tersebut sema­kin lama semakin menghampiri kediamannya.

“Hanya dalam beberapa bulan kebelakangan ini kesan hakisan makin ketara dan sudah menghampiri dapur rumah saya.

“Sekarang kami tidak berani tinggalkan rumah dalam tempoh lama lebih-lebih lagi jika cuaca tidak menentu seperti sekarang.

“Selain rumah kerap dimasuki air pasang besar, kami bimbang hentaman ombak besar boleh meruntuhkan rumah pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Kos­mo! mendapati, selain hakisan di belakang rumah milik 10 penduduk di kampung tersebut, ombak besar turut membawa batang-batang kayu dan sampah sarap sehingga memenuhi kawasan kediaman mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN