SHAH ALAM – Seorang lelaki menyesal tak sudah apabila bukan sahaja tidak dapat menghadiri upacara pengebumian bapanya, malah tunangnya dikebas rakan sendiri selepas terjebak dengan dadah yang memusnahkan hidupnya.
Lebih malang apabila Ray (nama samaran), 35, diberhentikan kerja dalam pasukan keselamatan selepas disumbat dalam ‘tirai besi’ apabila ditangkap bersama bahan khayal tersebut.
Mengimbau semula kejadian itu, anak keempat daripada lima beradik itu berkata, segalanya bermula apabila dia mula terjebak sebagai pusher syabu pada 2017 kononnya untuk menyimpan wang bagi melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya.
Katanya, mengedar dadah memang mendapat habuan lumayan apabila dia meraih RM50,000 dengan mudah hasil kerja haram tersebut.
“Bila pegang duit banyak, saya pun hilang tumpuan dan banyak berhibur termasuk menghabiskan kepada kereta.
“Tunang tahu saya menjadi pusher dan wang yang banyak itu juga mengaburinya apabila diberikan pelbagai barangan berharga untuknya,” katanya ditemui Kosmo! di Pusat Pemulihan Ghullam di sini.
Menurut Ray, hatinya hancur apabila usaha keras bagi menghalalkan hubungan mereka dikhianati apabila tunang menjalinkan cinta dengan rakannya sendiri sehingga mereka putus 15 hari sebelum persandingannya.
Tambahnya, dia bertunang pada 2014 dan persiapan perkahwinan sebanyak RM30,000 hangus begitu sahaja.
“Lima tahun bertunang dan bekerja keras untuk bekas tunang termasuk lakukan kerja haram. Namun, akhirnya putus begitu sahaja. Saya kemudian terjebak dalam penyalahgunaan syabu. Pada malam sebelum saya ditangkap, saya pernah berfikir bahawa ini adalah kali terakhir jual dadah dan hidup.
“Masa ditangkap kira-kira pukul 1 pagi di Seremban pada tahun 2021, polis ada menemui pedang sepanjang 30 sentimeter dalam kereta. Masa itu saya
ingin menghabiskan rakan dan bekas tunang sebelum membunuh diri,” katanya.
Ekoran penangkapan itu, Ray dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan termasuk atas kesalahan dadah dan memiliki senjata.
“Pada tahun kedua dalam penjara, bapa saya meninggal ketika tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Saya hanya ketahui sebulan selepas itu.
“Peristiwa yang membuatkan saya terus istiqamah dan berubah apabila ibu membawa salinan gambar arwah ayah dikafan, dikebumi dan kuburnya,” katanya yang kini menjadi penyelia pemulihan bagi banduan-banduan baharu.
Dia yang telah dibebaskan pada tahun lalu mengakui kesal apabila melakukannya kerana wanita.
Sementara itu, seorang bekas eksekutif teknologi maklumat dipenjara akibat ketagih berlumba haram dan lari daripada sekatan jalan raya.
Shah, 29, yang berpendidikan sarjana daripada sebuah universiti awam sanggup berhabis sehingga puluhan ribuan ringgit semata-mata mengubah suai empat buah motosikal.
“Saya telah memenangi beberapa perlumbaan dilakukan joki dengan wang pertaruhan mencecah RM14,000. Berlumba dan lari roadblock mencetuskan keterujaan kepada saya. Sebelum ini, sudah 13 kali saya dibenarkan ikat jamin, namun kali ini dipenjara selama sebulan,” jelasnya.














