fbpx
Mohd. Norazlan ketika dibawa ke Mahkamah Majistret, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

Pemandu SUV didakwa sebabkan kematian 3 beranak di Hulu Langat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan tiga beranak maut Rabu lalu.

Tertuduh, Mohd. Norazlan Mohd. Tamyiz, 42, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tetuduh sebagai pemandu SUV Perodua Aruz didakwa memandu di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kematian tiga individu.

Perbuatan itu menyebabkan kematian Hafifi Rahmat, 34, bersama isterinya, Nik Aishah Asilah Nik Mohd. Zamzuri, 32, serta anak mereka, Muhammad Rafie Hanzal Hafifi, 3, di Jalan Batu 17 Hulu Langat, pada pukul 7.56 pagi, Rabu lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara 10 hingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya 10 tahun dari tarikh sabitan, atau 20 tahun bagi sabitan kali kedua dan seterusnya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh.

Bagaimanapun Peguam S. Priyalatha memohon supaya anak guamnya diberikan jaminan yang rendah kerana hanya berpendapatan RM1,000 sebulan untuk menyara isteri serta dua anak yang masih bersekolah.

“Tertuduh juga merupakan penyara tunggal keluarga dan menanggung ibu bapa yang sakit tua serta bergantung kepada ubat-ubatan,” kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali. Tarikh 18 September ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan tiga beranak termasuk kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah SUV di Jalan Batu 17, Hulu Langat.

Kejadian pada pukul 7.56 pagi itu membabitkan mangsa lelaki berusia 34 tahun yang bekerja sebagai mekanik, isteri dan anak lelaki. Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemandu SUV ditahan bagi membantu siasatan dan semakan mendapati lelaki itu memiliki dua rekod kes dadah. Ujian saringan air kencing didapati positif dadah methamphetamine. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN