fbpx
MENJADI seorang selebriti tidak terlepas dengan tanggungjawab besar untuk memberi teladan baik kepada khalayak.

Rezeki, cabaran dan tanggungjawab anak seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJADI seorang pelaku seni bukan bersifat selama-lamanya. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Itulah perumpamaannya.

Ada yang berjaya meletakkan nama di puncak tertinggi, ada juga yang masih terkapai-kapai mencari rentak, berusaha meletakkan nama di persada seni tanah air.

Menjadi seorang selebriti ini datang dengan tanggungjawab. Tanggungjawab besar memberi teladan baik kepada khalayak, andai baik, maka baiklah kejadiannya dan begitulah sebaliknya.

Sebagai contoh pelakon yang kini ingin dikenali sebagai Sharifah Hanee. Waktu bergulir, masyarakat tetap menghakimi dirinya disebabkan kesilapan lampau ketika memenangi mahkota juara Dewi Remaja 2018/2019.

Dia sendiri mengakui tersilap langkah dan kini ingin membetulkan segalanya dan enggan lagi menoleh kebelakang. Kendatipun, tetap masyarakat bercakap tentang khilaf lampau yang dilakukannya.

“Saya sangat terkilan apabila orang bercakap tentang perkara lampau. Saya memang dah mengaku salah dan saya mencuba bermati-matian untuk menjaga nama.

“Bertahun saya ‘padam’ sejarah lama. Orang tak tahu betapa susahnya saya untuk berusaha ‘bersihkan’ nama,” katanya dalam satu muat naik video TikTok.

Buat pelakon dan penyampai radio, Issey Fazlisham dia memilih untuk tidak bergantung dengan pendapatan sebagai anak seni semata-mata.

Sedar dunia seni tidak menjanjikan kemewahan yang berkekalan Issey turut mencuba banyak cabang kerja lain termasuklah di belakang tabir dan perihal-perihal lain.

“Penyampai radio adalah kerjaya utama saya. Dalam pada itu, saya juga jalankan kerja produksi, agensi dan juga pengurusan acara.

“Saya sedar yang dunia lakonan bukan selalu saya dapat job. Jadi penyampai radio seronok. Pejam celik, pejam celik dah sembilan tahun saya jadi penyampai radio,” ujar Isey yang kini berkhidmat di stesen THR Gegar.

Bercakap tentang tanggungjawab sebagai orang popular, Isey menyeru orang ramai supaya tidak mudah mengecam mana-mana selebriti atau individu yang menyertai misi kemanusiaan Sumud Flotilla ke Gaza, sebaliknya terus mendoakan keselamatan mereka.

Menurut Issey, setiap insan mempunyai cara tersendiri dalam memberi sokongan terhadap rakyat Palestin, sama ada melalui tindakan, suara atau doa.

“Itu adalah tanggungjawab sendiri. Pergi menyertai misi kemanusiaan itu satu perjuangan, bersuara juga perjuangan.

“Apa yang penting ialah kita tidak terlalu negatif terhadap usaha orang lain. Jangan kita kecilkan perjuangan mereka,” katanya.

Itu susuk bernama anak seni. Dalam pada orang ‘mengangkat’ mereka menjadi popular, datang bersama cabaran getir dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan demi penyokong yang sentiasa berdiri di belakang.

Buat mereka yang masih bergelut mencari tempat dalam industri, selamat maju jaya. Buat mereka sentiasa sedar tanggungjawab diluhur anak seni, terima kasih untuk itu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN