SABAK BERNAM – Projek pembinaan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di jajaran Tanjong Karang sepanjang 10 kilometer (km) masih berdepan isu pengambilan tanah dan pampasan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, meskipun keseluruhan projek menunjukkan perkembangan positif namun jajaran itu masih tertangguh kerana isu teknikal dan undang-undang.
“Pelaksanaan projek WCE di jajaran itu tersangkut kerana ada isu tanah dan pampasan yang masih di peringkat akhir.
“Ia kini hampir selesai namun cuma perlu disegerakan kerana ramai penduduk sekitar Anjung Utara seperti Sekinchan, Sabak Bernam dan Tanjong Karang berharap laluan ini siap,” katanya.
Terdahulu beliau meninjau kerja menaik taraf longkang di persimpangan U Jalan Persekutuan 5 (FR5) berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Leman, Sekinchan di sini, hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan itu, kemajuan pembinaan kini berada pada tahap kira-kira 60 hingga 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan hingga akhir 2026.
“Jajaran itu membantu pengguna dari Shah Alam atau Petaling Jaya mengelak kesesakan teruk ekoran laluan Kuala Selangor, Pasir Penambang dan Tanjong Karang yang dipenuhi kira-kira enam lampu isyarat.
“Perjalanan dari Shah Alam ke Sekinchan mengambil masa lebih tiga jam setengah ketika musim cuti panjang. Namun, jika WCE siap, masalah ini boleh diatasi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














