SKUAD Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) melakar kemenangan pertama musim ini selepas menang 1-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi kedua pusingan 16 saingan Piala FA di Stadium MP Selayang, sebentar tadi.
Bagaimanapun, kemenangan tersebut tidak memberikan sebarang makna buat The Cops apabila masih tersingkir daripada kempen Piala FA selepas NSFC menang secara agregat 5-1 untuk mara ke suku akhir.
Pada perlawanan itu, skuad PDRM FC bermula garang apabila hanya memerlukan masa tiga minit untuk meraih gol Fakhrul Azim menerusi sepakan penjuru.
Gol tersebut memberi tekanan buat tuan rumah untuk beraksi seperti biasa dengan PDRM FC dilihat cuba untuk menambah jaringan menerusi serangan balas pantas.
Skuad kendalian Eddy Gapil itu hampir menambah jaringan selepas dihadiahkan sepakan penalti pada babak kedua apabila Bernard Doumbia dijatuhkan penjaga gol NSFC, Azri Ghani.
Namun, kesempatan itu disiakan oleh pemain import Arab Saudi, Ahmad Israiwah apabila sepakan penalti yang diambil tersasar.
Doumbia turut memiliki peluang keemasan pada penghujung perlawanan tetapi rembatannya melepasi palang gol dengan keputusan kekal hingga wisel penamat. – KOSMO! ONLINE