SALAM ustaz. Saya hendak bertanya tentang hukum pakai pakaian tidur, kemudian guna pakaian yang sama untuk solat. Apa hukumnya?
JAWAPAN: Syarat sah solat enam syarat. Antaranya adalah bersihnya badan,tempat solat dan pakaian seseorang itu. Lebih khusus lagi, pakaian yang ingin dibawa solat mestilah bersih daripada segala najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT: Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.” (Surah Al-Muddatthir : 4)
Sheikh Abdurrahman Al-Sa’di di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan ayat tersebut adalah membersihkan pakaian daripada najis. Ini kerana, ia merupakan salah satu kesempurnaan amalan, khusus dalam solat. Oleh sebab itu, diperintahkan untuk membersihkan pakaian daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya ketika solat. (Rujuk Taysir Al-Karim Al-Rahman Fi Tafsir Al-Kalam Al-Mannan, 2/132)
Begitu juga dapat difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Nabi SAW kepada Khaulah Binti Yasar. Kata Khaulah kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, aku ini tiada pakaian melainkan satu helai sahaja dan aku dalam keadaan berhaid. Macam mana nak buat? Sabda Rasulullah SAW: Jika engkau telah suci daripada haid, basuhlah pakaian tersebut dan solatlah gunakan pakaian itu.” (Riwayat Abu Daud, 365)
Ini menunjukkan bahawa Nabi memerintahkan agar pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala najis.
Kata Imam al-Nawawi bahawa menurut mazhab Syafi’i, bersih dan hilangnya najis merupakan syarat sah solat.
Jika dia mengetahui adanya najis, maka solatnya tidak sah tanpa ada khilaf lagi. Jika dia terlupa atau jahil terhadap najis yang ada pada tubuh, baju dan tempat solatnya, maka solatnya juga tidak sah.
Menghilangkan najis adalah syarat sah bagi semua ibadah tersebut. Inilah mazhab para Syafi’iyyah, Imam Ahmad dan jumhur para ulama. Sama ada salaf mahupun khalaf. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/139)
Antara syarat sah solat yang lain adalah menutup aurat dengan sempurna. Ini berdasarkan teguran Nabi SAW kepada Jarhad ketika mana pahanya terselak di dalam solat. Kata Nabi SAW: “Tutuplah pahamu kerana paha itu aurat.” (Riwayat Al-Tirmizi, 2798).
Imam Al-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis hasan.
Di dalam riwayat lain menyebut daripada Aisyah bahawa Nabi SAW bersabda: “Allah tidak menerima solat wanita yang haid (iaitu wanita yang telah berlaku) kecuali dengan khimar (penutup kepala).” (Riwayat Abu Daud, 641)
Imam Al-San’ani menyebut bahawa penafian dengan huruf lam di dalam hadis tersebut adalah penafian yang membawa maksud tidak sahnya, dan terbatalnya solat seseorang wanita jika tidak menutup auratnya. (Rujuk Subul Al-Salam Ila Bulugh al-Maram, 14/43)
Kata Imam Al-Nawawi di dalam al-Majmu’: “Menutup aurat adalah syarat sah solat. Jika mana-mana bahagian aurat seseorang yang menunaikan solat terdedah, maka tidak sah solatnya. Tidak kiralah yang terdedah itu sedikit atau banyak. Sama ada lelaki atau perempuan. Sama ada solat bersama orang ramai atau bersendirian. Sama ada solat fardu atau solat sunat atau solat jenazah atau tawaf atau sujud tilawah mahupun sujud syukur.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/172)
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, harus menggunakan pakaian tidur untuk solat selagi mana pakaian itu bersih dan suci dari segala najis serta menutup aurat.
Kata Sheikh Abdurrahman Al-Sa’di: “Kata Al-Hafiz Ibnu Kathir di dalam ayat ini terdapat makna bahawa sunnah memakai pakaian yang kemas dan sesuai ketika solat. Terutamanya pada hari Jumaat dan hari raya. Begitu juga digalakkan memakai wangi-wangian dan bersiwak kerana ia juga termasuk dalam maksud berhias dan kedua-duanya itu merupakan satu kesempurnaan. (Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, 2/256)
Kesimpulannya, harus menggunakan pakaian tidur untuk solat selagi mana pakaian tersebut suci bersih dan menutup aurat.
Akan tetapi, lebih baik memakai pakaian lebih elok, kemas dan sesuai. Ini merupakan satu persediaan menghadap Tuhan Yang Maha Esa.














