Dua ekor ikan gerepoh atau giant trevally (GT) bersaiz double digit di hari pertama trip sudah cukup memuaskan kerana saya sememangnya amat merindui ‘tekanan’ dibuli game fish terunggul ini.
Hari kedua merupakan hari terakhir trip dan kami turun sedikit lewat.
Rasa lenguh-lenguh di lengan dan pinggang saya masih berdenyut lagi. Keadaan alun tidak setinggi semalam, tetapi ia telah pecah mengakibatkan kehadiran ombak yang menggoyangkan bot, nampaknya saya terpaksa popping sambil duduk sahaja.
Kami pergi ke tempat semalam iaitu Semarang Bank kerana ia berpotensi apabila banyak kali sambaran GT terhadap popper kami. Hari ini, kami berharap ada lagi GT bersaiz lebih kasar dari semalam akan tergoda dengan percikan popper yang akan dimainkan nanti.
Memandangkan sudah lama saya tidak popping, untuk trip ini saya sememangnya perlu bersedia dari segi peralatan. Lain padang, lain belalangnya, perairan Labuan ini sudah tentu memerlukan setting peralatan popping sedikit berlainan dari lokasi-lokasi popping GT yang pernah saya terjah sebelum ini.
Tambahan pula, teknologi peralatan popping juga sudah bertambah baik dengan banyak penambahbaikkan dari segi kekuatan joran, kekili, mainline, shock leader dan popper atau swimbait.
Kesemuanya ini lebih ringan dan kuat, namun mampukah saya bertahan untuk popping seharian?
Hakikatnya, tenaga saya sudah tidak seperti dahulu, ‘pancit’ dan lelah melayan sukan pancing yang paling menjerihkan ini berbanding cabang-cabang teknikal pancing lainnya seperti jigging, pancing layang dan sebagainya.
Nasihat tekong tentang peralatan yang disyorkan perlu diambil serius kerana dia lebih arif tentang perairannya disebabkan bertahun-tahun berpengalaman di sana.
Peralatan popping
Menurut tekong Ejam, set yang sesuai untuk menawan GT di perairan Labuan adalah joran popping panjang lebih dari lapan kaki yang berkekuatan antara PE6-8 hingga PE8-10 dengan kekili spinning yang kuat seperti Shimano Stella atau Twinpower dan Daiwa Saltiga.
Saiz pula antara 8000 hingga 18000 yang diisi tali utama (mainline) tali braided antara PE5 hingga 10. Shock leader antara 120 hingga 220 paun (lb).
Popper dan stickbait
Berat popper yang disyorkan tekong adalah antara 80 hingga 200 gram (g), manakala untuk stickbait pula antara 70 hingga 150g.
Gewang yang digunakan beratnya haruslah bersesuaian dengan kekuatan joran.
Ini anda boleh rujuk di batang joran masing-masing. Jika anda pakai gewang beratnya melebihi takat yang disarankan, takut joran akan patah.
Warna popper atau stickbait akan berpandukan tahap kejernihan air dan kecerahan matahari ketika trip.
Biasanya, tekong akan gunakan gewang warna gelap di waktu awal pagi dan lewat petang, sebelum bertukar kepada gewang berwarna cerah serta terang jika panahan cahaya matahari cukup terik pada waktu tengah hari.
Namun, bagi saya dan mengikut pengalaman pemancing-pemancing lama, percikan dan cara memainkan popper dengan kuat adalah lebih berkesan menaikkan perasaan amarah GT bagi menerkamnya.
Cuma cara ini lebih cepat memenatkan pemancing jika ikan GT kurang memberi respons.
Namun, teknik ‘kuat’ tersebut hanya tertakluk kepada popper, dan tidak kepada stickbait yang mementingkan aksi dan warna gewang untuk membuatkan GT tergoda.
Guna joran tip keras untuk memainkan popper dengan kuat supaya ia dapat memercikkan air lebih besar.
Guna joran yang tipnya sedikit lembut jika mahu memberikan aksi lebih menarik kepada stickbait.
Nasihat saya untuk pemancing yang ingin melakukan aktiviti popping big game untuk GT, anda harus menyesuaikan kekuatan set popping yang ingin digunakan. Bukan saiz ikan GT yang menjadi target, sebaliknya untuk tenaga anda sendiri.
Jadi, jika anda rasa kurang berkemampuan untuk menghayun gewang yang berat itu seharian, guna set berkekuatan rendah.
Jika tenaga anda cukup kuat, boleh sahaja guna set berkekuatan semaksimum mungkin.
Saya sendiri gunakan joran Shimano Ocea Plugger yang berkekuatan PE6 digandingkan dengan kekili Shimana Stella 10000 SW, yang penting anda dapat enjoy popping tanpa mengeluh sakit urat di sana sini.

Wind knot
‘Simpul angin’ atau wind knot ini merupakan masalah terbesar ketika aktiviti popping sedang dilakukan.
Ia sukar dielakkan kerana keadaan di tengah laut sentiasa berangin. Kejadian ini normal dan selalu terjadi.
Ia berlaku kerana hembusan angin laut yang kuat membuatkan tali keluar dengan banyak ketika popper dilontar dengan kuat.
Lantas, ia menyebabkan terjadinya tali tersimpul di cincin joran.
Kebiasaannya, jarak lontaran popper menjadi tidak jauh kerana mainline telah bersimpul ke cincin joran.
Ia juga boleh membuatkan cincin joran terus tercabut jika tali tersimpul ketat di cincin.
Malah, boleh menjadi bahaya jika popper berpatah balik ke pemancing akibat tali yang tersangkut itu.
Cara saya meminimumkan wind knot ini adalah dengan lebih berhati-hati setiap kali lontaran gewang berat ingin dilakukan.
Kemudian, saya pastikan telapak tangan saya sedikit menahan tali yang keluar dari gelendung terutamanya ketika angin laut kuat.
Namun, dua cincin joran saya tetap tercabut akibat wind knot tempoh hari dan terpaksa meminjam joran Nazreen pada hari kedua.
Sebab itu penting untuk bawa set popping ekstra sebagai back-up jika berlaku kejadian yang tidak diinginkan seperti ini.
Double digit GT lagi
Kami bermula dengan baik apabila Nazreen kena dua ekor GT di waktu pagi, dan ini diikuti tekong Ejam dengan seekor GT pada waktu tengah hari.
Saya pula lebih banyak berehat kerana masih lenguh badan kesan dibuli dua ekor GT semalam.
Saya masih mengekalkan teknik menghenjut popper dengan kuat.
Tetapi cara tersebut betul-betul makan tenaga. Jadi, saya hanya popping jika melihat bot berhanyut melalui kawasan drop-off yang gelap bersebelahan dengan kawasan terumbu cetek.
Petang itu, rancangan saya ternyata berhasil apabila satu sergapan padu berlaku selepas tiga kali popper dihenjut dengan betul-betul kuat.
Seperti semalam, ikan betul-betul mencabar stamina saya.
Nasib baik, ia sempat dipam pendek-pendek untuk menghela kepalanya dari menuju ke karang cetek, dan akhirnya ia dapat didaratkan atas bantuan tekong.
Sebelum balik, kami sempat mencuba gewang stickbait pula, saya yang sememangnya amat jarang menggunakan gewang jenis ini untuk GT terasa sangat kekok.
Lebih-lebih lagi dengan keadaan permukaan laut yang berombak, gewang yang saya mainkan bergerak dengan amat kaku, mungkin di lain trip, saya akan mencubanya dengan bersungguh-sungguh.
Hari semakin lewat dan kami terus menamatkan trip.
Keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan hasil popping di Labuan ini kerana dapat melunaskan rindu terhadap GT yang sekian lama saya pendamkan.














