PETALING JAYA – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam keras serangan udara Israel di Doha, Qatar semalam yang disifatkan sebagai pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta pengkhianatan terhadap usaha keamanan global.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin berkata, tindakan Israel menyasarkan kepimpinan Hamas ketika rundingan gencatan senjata berlangsung jelas membuktikan rejim itu tidak menghormati perantara, menolak rundingan dan enggan menerima perdamaian.
“Serangan ini menunjukkan bahawa Israel tidak pernah serius mahu mencari perdamaian, sebaliknya menjadikan peperangan sebagai strategi tetap. Dengan menyasarkan Qatar yang memainkan peranan penting sebagai perantara, Israel memberi isyarat bahawa tiada negara yang selamat daripada keangkuhannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, jika sebuah negara berkecuali pun boleh diserang, tiada jaminan Malaysia dan negara lain tidak akan menjadi sasaran, khususnya selepas Perdana Menteri menunjukkan pendirian tegas dan rakyat Malaysia turut menyertai delegasi terbesar Global Sumud Flotilla sebagai solidariti bersama Palestin.
Tambahnya, kecaman global tanpa tindakan konkrit tidak akan menghentikan jenayah pembunuhan beramai-ramai yang berlaku sejak 7 Oktober 2023 sehingga meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE