DALAM menempuh era persaingan global dan tekanan kelestarian, keupayaan syarikat atau perusahaan untuk mengurus operasi secara cekap menjadi faktor penentuan daya saing industri.
Namun begitu, kecekapan mengurus tidak hanya terletak pada keupayaan organisasi untuk merangka strategi korporat yang baik atau penerapan teknologi canggih semata-mata.
Sebaliknya, ia turut ditentukan oleh kesiapsiagaan tenaga kerja.
Ketua Jabatan Sains Pemutusan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Suhana Mohezar Ali berkata, dalam hal itu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan yang sangat besar.
“Sebagai negara membangun, Malaysia memerlukan gabungan mantap antara pendidikan teori dan latihan praktikal untuk memastikan rantaian bekalan, pengeluaran serta perkhidmatan dijalankan dengan piawaian tertinggi.
“Ini penting bagi memastikan syarikat pengeluaran tempatan tidak tergelincir daripada rantaian bekalan global,” katanya.
Tambah Suhana, bidang pengurusan operasi pula menjadi tulang belakang dalam menyelaras input, proses dan output dalam semua sektor, daripada pembuatan sehinggalah logistik dan hospitaliti.
Justeru, TVET memainkan peranan kritikal dalam menyediakan tenaga kerja yang bukan sahaja mahir secara teknikal, malah memahami keperluan standardisasi, kecekapan proses dan penyesuaian teknologi.
Di sini dapat dilihat, kedua-duanya saling memerlukan.
TVET perlu mengintegrasikan ilmu pengurusan operasi, sementara pengurusan operasi tidak akan berkesan tanpa tenaga kerja mahir daripada aliran TVET.
Mengulas lanjut, Suhana berkata, apabila kita bercakap tentang pengurusan operasi moden, ia tidak terhad kepada pengeluaran fizikal semata-mata.

Terangnya, ia melibatkan automasi, pengeluaran secara ‘lean’, rantaian bekalan digital dan pematuhan piawaian seperti ISO atau Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP).
“TVET berperanan penting dalam melahirkan tenaga kerja yang boleh ‘membumikan’ konsep-konsep ini ke dalam amalan sebenar di tempat kerja.
“Apa sebenarnya yang terkandung dalam kurikulum TVET?
“Secara umum, ia merangkumi tiga komponen utama. Pertama, kemahiran teknikal seperti operasi mesin, kawalan kualiti dan penyelenggaraan.
“Kedua, kemahiran generik seperti komunikasi, etika kerja dan literasi komputer.
“Akhir sekali, latihan industri yang memberi pendedahan kepada operasi sebenar di tempat kerja,” jelasnya.
Namun begitu, aspek asas pengurusan operasi seperti perancangan kapasiti, aliran proses, pengurusan inventori dan penggunaan data untuk membuat keputusan masih kurang diberi penekanan.
Inilah jurang yang perlu dirapatkan agar lulusan TVET bukan sahaja cekap dari segi teknikal, malah memahami logik dan strategi operasi industri moden.
Ujarnya, penyepaduan antara TVET dan pengurusan operasi perlu dirapatkan.
Program TVET boleh disuntik dengan elemen pengurusan asas seperti pemetaan proses, pemikiran ‘lean’ dan pengenalan kepada digitalisasi seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin.
Suhana berkata, pada masa sama, pelajar pengurusan boleh mendapat manfaat melalui lawatan industri atau latihan teknikal secara langsung.
“Dalam kajian yang saya jalankan bersama penggiat industri makanan, mereka menyatakan bahawa kecekapan pekerja TVET yang faham asas pengurusan memberi kesan langsung kepada produktiviti, pengurangan pembaziran dan pematuhan kepada audit kualiti.
“Elemen-elemen ini amat penting dalam usaha kerajaan menggalakkan pembangunan kelestarian,” katanya.
Malah, permintaan terhadap pekerja berkemahiran yang boleh mengurus secara efisien semakin meningkat terutamanya dalam industri berdepan cabaran environmental, social, governance (ESG), automasi dan tekanan kos.
Justeru, TVET bukan sahaja perlu dilihat sebagai pengeluar tenaga kerja teknikal, malah sebagai pencorak barisan hadapan dalam pelaksanaan strategi operasi di sesebuah organisasi.
Dalam dunia pasca pandemik yang semakin dipacu oleh automasi dan teknologi pintar, kemahiran teknikal semata-mata tidak lagi mencukupi.
Komponen literasi komputer dalam kurikulum TVET perlu ditambah baik, di mana para pelajar juga perlu diberi pendedahan terhadap teknologi baharu seperti AI, analitik data dan Internet of Things (IoT).
Teknologi-teknologi tersebut semakin digunakan dalam operasi industri seperti pengurusan inventori, perancangan pengeluaran dan logistik.
Sebagai contoh, seorang juruteknik pada hari ini bukan sahaja perlu tahu cara mengendalikan mesin.
Malah, mereka harus mentafsir data prestasi mesin melalui papan pemuka analitik atau menyesuaikan tetapan mengikut unjuran permintaan yang dijana oleh sistem ramalan AI.
Suhana berkata, jika tidak diberi pendedahan awal, golongan TVET mungkin ketinggalan dalam revolusi perindustrian baharu (IR 4.0), sekali gus akan memberi kesan kepada kemampanan kerjaya serta daya saing negara.














