GEORGE TOWN – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang kembali sedar selepas ditidurkan hampir 20 hari akibat dilanggar lari sebuah kereta Mercedes Benz di Lebuh Raya Dr. Lim Chong E pada 15 Ogos lalu sudah mula memberi isyarat tangan, dan pergerakan mulut.
Perkara itu dimaklumkan ibunya, Salina Mohd. Salleh, 42, apabila anaknya, Muhammad Syahmin Azhar, 17, semakin menunjukkan perkembangan positif sejak beberapa hari lalu.
Menurut Salina, meskipun Muhammad Syahmin masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak 15 Ogos lalu, namun mereka sekeluarga tidak putus memberi kata-kata semangat setiap hari bertemu dengannya.
“Anak dah mula berkomunikasi menerusi isyarat mengangkat tangan dan menggerakkan mulut selain mengangguk dan menggeleng kepala.
“Kami kena amati setiap pergerakan (mulut, kepala dan tangan) yang diberikannya. Tanpa suara dan hanya menggerak mulut, dia mengatakan nak pulang ke rumah selain meminta saya berada dekat dengannya.
“Dia akan mengangguk jika benar atau faham apa yang kami cakap dan geleng kepala jika salah,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Dalam pada itu, Salina memberitahu, doktor juga ada memaklumkan mengenai perkembangan positif Muhammad Syahmin.
“Cuma dia masih perlukan pemantauan doktor disebabkan kecederaan luka pada tangan dan bahu kiri, buku lali dan kaki kanan termasuk dalaman,” ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam, 15 Ogos lalu, motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang mangsa bersama abang saudaranya dikatakan dirempuh sebuah kereta jenis Mercedes Benz dari arah arah belakang semasa pulang makan malam bersama keluarganya.
Mangsa bukan sahaja dikatakan diseret hingga beberapa meter malah digilis sebelum kereta tersebut melarikan diri.
Kejadian yang menimpa mangsa terbabit tular di media sosial apabila satu kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan insiden berlaku dikongsi seorang pengguna jalan raya.
Pada 4 September lalu, Kosmo! melaporkan, ibu Muhammad Syahmin meluahkan rasa bersyukur kerana anak kesayangannya itu kembali sedar pada 28 Ogos lalu.
Sepanjang berada di ICU, Salina tidak putus berdoa semoga anaknya yang cedera parah pada bahagian dalaman badan termasuk sebelah paru-parunya rosak, urat kaki kanan putus dan patah rahang akan kembali sedar dan pulih seperti sediakala. -KOSMO! ONLINE