SEREMBAN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sedang mengenal pasti status agama dua beradik yang maut selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Linggi di Jeti Tanjung Agas di Port Dickson, kelmarin.
Pengarahnya, Mohd. Asri Abdullah berkata, pihaknya telah menerima permohonan daripada pihak polis semalam berhubung status agama dua beradik itu susulan nama yang tertera di dokumen peribadi berbangsa lain.
Menurutnya, suspek lelaki yang dipercayai bapa mangsa menyatakan kedua-dua anaknya itu telah diislamkan di Kelantan.
“Bagaimanapun hasil semakan dengan jabatan agama di Kelantan, tiada rekod dua beradik itu. Di pihak kita juga, tiada rekod menyatakan dua beradik yang maut ini beragama Islam.
“Buat masa ini kita bergantung kepada pengakuan daripada suspek serta ibu kandung dua beradik berkenaan yang dipercayai berbangsa lain. Kita sedang tunggu pengesahan lanjut, sekiranya beragama Islam kita akan uruskan pengebumian,” katanya dihubungi, di sini hari ini.
Kosmo! Jumaat lalu melaporkan dua beradik meninggal dunia selepas kereta Nissan Teana dinaiki mereka bersama ibu dan bapa terjunam ke dalam sungai di jambatan Tanjung Agas dalam kira-kira pukul 11.44 pagi.
Tragedi menyayat hati melibatkan dua beradik yang maut selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Linggi di Jeti Tanjung Agas, Port Dickson dekat sini kelmarin dan polis kini menjalankan siasatan sebagai kes bunuh.
Perkembangan terbaharu itu hadir selepas polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang dipercayai bapa kepada mangsa serta seorang wanita tempatan berusia 41 tahun. – KOSMO! ONLINE