fbpx
Gambar hiasan

Labur RM251,852 untung hanya RM5,850

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang penganggur kerugian RM251,852 selepas terperdaya dengan satu sindiket pelaburan palsu yang mendakwa menawarkan pulangan sebanyak 10 peratus daripada jumlah dilaburkan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian bermula apabila mangsa seorang wanita tempatan berusia 35 tahun menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp ketika berada di kediamannya di Taman Seri Austin, di sini pada 7 Julai lalu.

“Individu terbabit memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat pelaburan dan menawarkan peluang meraih komisen pelaburan 10 peratus setiap minggu berdasarkan jumlah pelaburan dibuat.

“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa membuat 12 transaksi kewangan ke dalam enam akaun berbeza antara 7 Julai hingga 29 Ogos lalu melibatkan wang berjumlah RM257,702,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Raub, mangsa pada awalnya tidak mengesyaki kerana telah menerima keuntungan sebanyak RM5,850, namun diminta untuk menambah pelaburan sekiranya mahu mengeluarkan wang didakwa keuntungan seterusnya.

“Mangsa yang hanya menyedari menjadi mangsa penipuan itu kemudian membuat laporan polis. Siasatan awal mendapati enam akaun terbabit tidak mempunyai sebarang rekod laporan polis berhubung penipuan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN