SKUAD bawah 23 (B-23) negara tidak boleh mengibarkan bendera putih dalam usaha meraih slot automatik ke pentas Piala Asia B-23 2026 menjelang aksi kedua Kumpulan F menentang Mongolia di Stadium Thammasat, Bangkok esok.
Ketua jurulatih skuad negara, Nafuzi Zain mengakui cabaran pasukan sangat sukar terutama selepas tewas mengejut kepada wakil Asia Barat, Lebanon 0-1 pada aksi pembukaan, Rabu lepas.
Nafuzi berkata, sekarang adalah masa untuk pemain menggandakan usaha kerana peluang untuk berada di pusingan akhir masih belum tertutup sepenuhnya dengan syarat pasukan wajib menewaskan Mongolia.
“Kita kena melupakan kekalahan dan fokus untuk aksi seterusnya, mencari kemenangan dengan bertemu Mongolia.
“Saya akui laluan agak sukar, tetapi peluang masih ada kerana selain juara kumpulan, empat negara yang mengutip mata tertinggi selaku naib juara turut layak.
“Justeru, saya harap kita dapat kekalkan corak permainan tetapi dalam masa sama perbaiki kelemahan untuk beraksi dengan lebih baik,” katanya.
Skuad negara wajib memanfaatkan peluang untuk melakar kemenangan besar ke atas Mongolia selepas negara itu tewas 0-6 kepada tuan rumah, Thailand pada Rabu lepas.
Selepas ini, skuad negara akan fokus bertemu dengan pasukan remaja Gajah Perang untuk aksi terakhir kumpulan, Selasa depan. – KOSMO! ONLINE