PETALING JAYA – Umat Islam di negara ini perlu mencontohi keperibadian Rasulullah SAW sebagai teladan terbaik dalam usaha membina bangsa dan negara yang berteraskan nilai keadilan, kemanusiaan serta ketamadunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, saat manusia dahaga kepada tauladan, sosok Rasulullah SAW menawarkan wawasan kemanusiaan yang menyerlahkan suara kejujuran dan kejernihan jiwa.
“Rasulullah SAW bukan sahaja peribadi unggul, Baginda juga simbol perpaduan dan pemimpin yang dihubungkan dengan Madinat al-Nabi yang sarat dengan nilai.
“Melalui kepimpinan Baginda di Madinah, Rasulullah SAW meletakkan asas kemadanian seperti martabat insan, prinsip keadilan, kedaulatan hukum, nilai ilmu, akhlak dan nilai kemanusiaan berasaskan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook sempena sambutan Maulidur Rasul, hari ini.
Anwar menambah, masyarakat madani yang dibentuk oleh Rasulullah SAW di Madinah adalah khayra ummah iaitu umat unggul yang beriman, berpegang pada kebaikan, memberi manfaat kepada seluruh manusia serta beriltizam menegakkan ma’ruf dan menolak kemungkaran.
“Berakar kepada sunnah kenabian dan berpohon kepada rahmah Allah SWT, ayuh kita hadapi ranjau dalam kembara membina bangsa dan negara dengan contoh dan hikmah ar-Rasul.
“Semoga dengan penghayatan dan kefahaman mendalam terhadap ajaran serta warisan Baginda akan memandu kita untuk bekerja lebih kuat, berdisiplin dan optimis terhadap masa depan umat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE