fbpx
TANG JIE dan Ee Wei enggan berpuas hati dengan kejayaan di Paris sebaliknya memburu lebih banyak kejuaraan selepas ini.

Tang Jie, Ee Wei pasang ikrar baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GELARAN dunia yang diraih pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis tidak akan membuatkan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mudah berasa selesa dan lupa diri.

Sebaliknya, juara dunia baharu itu sedia untuk kekal merendah diri selain bekerja keras bagi memburu lebih banyak kejuaraan pada kejohanan-kejohanan akan datang, termasuk Jelajah Dunia Akhir 2025 di Hangzhou, China Disember depan.

Tang Jie berkata, mereka tidak akan bersandar kepada kejuaraan dunia itu semata-mata memandangkan mereka perlu bermula dari kosong dan kembali menjalani latihan intensif bersama jurulatih.

“Bagi saya sebagai atlet, memang semua ada tekanan masing-masing. Untuk kita, apa yang kita buat sekarang memang tidak ada beza dengan sebelum ini, jadi kita akan bermula dari kosong dan kekal merendah diri.

“Kami akan cuba kejar sasaran baharu pula selepas ini. Memang kami akan meneruskan latihan seperti biasa dan perlu mengekalkan disiplin kerana badminton yang berikan kami kejayaan ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Bersama Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd di Petaling Jaya semalam.

Pada majlis tersebut, Tang Jie-Ee Wei menerima sumbangan RM50,000 sebagai insentif atas kejayaan mereka menjadi juara dunia.

Ahad lalu, pasangan No. 3 dunia itu melakar sejarah baharu arena sukan negara selepas menjadi beregu campuran pertama negara menjadi juara dunia selepas menewaskan wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di perlawanan akhir.

Sementara itu, Ee Wei yang juga penerima biasiswa Mamee menganggap insentif berkenaan akan menjadi pembakar semangat buat dia dan Tang Jie bagi bagi menampilkan aksi lebih baik selepas ini.

“Mestilah (bakar semangat) kerana kita sudah usaha terlalu lama, jadi mahu nikmati detik ini. Terima kasih kepada Mamee dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan kepada kami,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI