fbpx
HANNAH (tengah) ketika menyambut ketibaan pemain-pemain negara di KLIA hari ini. - FAIZ ALIF ZUBIR

Insentif tambahan menanti pemain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Pencapaian pemain-pemain badminton negara pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis tidak akan dipandang sepi oleh kerajaan apabila bakal mendapat ‘durian runtuh’ menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Perkara itu disahkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas kejayaan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi juara dunia serta beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah yang muncul naib juara.

Hannah berkata, berdasarkan kadar yang ditetapkan dalam SHAKAM, Tang Jie-Ee Wei akan menerima RM20,000 selaku juara dunia manakala Pearly-Thinaah bakal meraih RM10,000.

Beliau juga menjelaskan sudah berbincang dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bagi memberikan insentif tambahan buat kedua-dua beregu tersebut.

“Bagi ganjaran SHAKAM, untuk pingat emas akan diberikan RM20,000, iaitu RM10,000 setiap seorang. Bagi pemenang pingat perak pula, setiap seorang akan menerima insentif sebanyak RM5,000.

“Saya telah berbincang dengan Presiden BAM, Tengku Zafrul dan kita nantikan insentif tambahan daripada beliau. Beliau akan buat pengumuman nanti kerana sekarang berada di China,” katanya ketika menyambut kepulangan pemain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Sementara itu, Hannah juga menyifatkan kejayaan Tang Jie-Ee Wei dan Pearly-Thinaah di Kejohanan Dunia berjaya membuktikan bahawa program Road to Gold (RTG) yang dibentuk sudah mula membuahkan hasil.

“Pencapaian ini juga merupakan satu kejayaan besar untuk RTG kerana RTG sudah pun melaburkan dana kepada keempat-empat pemain ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI