KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut akan didakwa kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, seorang penjawat awam kerugian RM124,930 akibat diperdaya sindiket penipuan atau scammer.
Wanita berusia 39 tahun tersebut sanggup membuat pinjaman peribadi dan menggadai barangan kemasnya bagi diserahkan kepada penjenayah tersebut kononnya sebagai wang jaminan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa yang ketika itu berada di sebuah pasar raya besar di bandar raya ini telah dihubungi seorang individu mengaku kononnya wakil sebuah syarikat insurans pada pukul 4 petang, 26 Jun lalu.
“Suspek mendakwa kononnya mahu membuat pengesahan tuntutan perubatan dibuat mangsa menerusi sebuah pusat perubatan di Damansara, Selangor.
“Dia seterusnya berpura-pura mengesyaki butiran peribadi mangsa telah disalah guna apabila mangsa panik memberitahu tidak pernah membuat tuntutan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, panggilan wanita itu kemudiannya disambungkan kononnya kepada seorang anggota polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Beliau berkata, mangsa bertambah panik apabila didakwa kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan diarahkan suspek untuk membuat pembayaran kononnya sebagai wang jaminan.
“Mangsa yang terdesak telah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM79,000 dari sebuah bank pada 13 Julai lalu selain menggadaikan barangan kemasnya untuk memenuhi permintaan suspek,” katanya. – KOSMO! ONLINE