BANDAR RAYA NEW YORK – Semua anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melainkan Amerika Syarikat (AS) bersetuju kebuluran di Gaza adalah krisis buatan manusia, lapor portal berita Sky News semalam.
Dalam satu kenyataan bersama, 14 daripada 15 anggota Majlis Keselamatan memberi amaran bahawa penggunaan kebuluran sebagai senjata perang sama sekali dilarang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Mereka menyeru gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan diikuti pembebasan semua tebusan yang ditahan Hamas dan kumpulan lain di samping peningkatan besar penghantaran bantuan ke seluruh Semenanjung Gaza tanpa syarat serta Israel menarik balik semua sekatan terhadap penghantaran bantuan.
Menurut sebuah badan pemantau kelaparan global minggu lalu, Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya rasmi mengalami kebuluran dan krisis dijangka merebak.
Sistem Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) melaporkan, seramai 514,000 orang atau hampir 25 peratus penduduk Palestin di Gaza mengalami kebuluran.
Ia memberi amaran angka itu dijangka meningkat kepada 641,000 orang menjelang akhir bulan depan.
Kelmarin Israel meminta agar penilaian itu ditarik balik dan menolak rumusan tersebut kononnya tidak benar serta berat sebelah.
Sementara itu, Presiden Donald Trump mengadakan mesyuarat dasar berhubung perang di Gaza bersama bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan bekas utusan khas Asia Barat, Jared Kushner.
Menurut seorang pegawai kanan Washington, pertemuan itu membincangkan semua aspek mengenai Gaza termasuk peningkatan penghantaran bantuan makanan, krisis tebusan, rancangan pascaperang dan lain-lain.
Mesyuarat itu berlangsung selepas jurucakap tentera Israel berkata bahawa pemindahan keluar penduduk dari Bandar Gaza tidak dapat dielakkan. – AGENSI