KUALA LUMPUR – Kemenangan di set pertama langsung tidak dapat membantu perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao apabila tersingkir pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis.
Pada perlawanan yang berlangsung di Adidas Arena sebentar tadi, bekas juara remaja Asia itu terpaksa akur tewas kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto menerusi aksi tiga set 21-17, 13-21, 23-25 dalam tempoh 89 minit.
Keputusan itu menyaksikan tidak ada lagi wakil perseorangan lelaki negara pada kejohanan tersebut selepas pemain profesional, Lee Zii Jia turut tersingkir seawal pusingan pertama Isnin lalu.
Jun Hao menampilkan aksi cukup baik di set pertama apabila menguasai sebahagian besar permainan sehingga meletakkan Nishimoto yang juga pilihan ke-14 berada dalam tekanan sebelum menang 21-17.
Bagaimanapun, Jun Hao gagal mengekalkan prestasi serupa dalam set berikutnya apabila memberikan ruang buat Nishimoto untuk kembali mendapatkan keyakinan dan menang 21-13 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Memasuki set ketiga, Jun Hao pada awalnya berada dalam keadaan cukup selesa apabila mendahului perlawanan 6-0, namun dia secara tiba-tiba hilang momentum sehingga membolehkan lawan mengejar dan memintas kedudukan.
Seolah-olah mendapat semangat baharu, Nishimoto terus mengutip mata demi mata dan terus menjarakkan kedudukan tetapi Jun Hao yang enggan tewas mudah mempamerkan semangat juang dan mengheret permainan ke aksi ‘deuce’.
Selepas beberapa kali berada di mata akhir, Nishimoto akhirnya mengesahkan kemaraan ke pusingan ketiga selepas melengkapkan kemenangan 25-23 di set penentuan. – KOSMO! ONLINE