GOMBAK – Polis membuka kertas siasatan berhubung pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis di Jalan Medan, Batu Caves 1, di sini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian sekitar pukul 11.29 pagi, Sabtu lalu.
“Tindakan siasatan telah dilengkapkan. Percakapan pemilik premis dan yang terlibat juga telah dirakam.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, bendera tersebut telah diturunkan oleh bantuan pihak bomba.
Terdahulu, tular satu klip video di media sosial memaparkan anggota bomba membuka dan menurunkan Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di tingkat satu sebuah premis di sini, baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE