BANGKOK – Seorang penumpang wanita tercampak dari jejantas di sebatang jalan di Bangkok selepas penunggang teksi motosikal yang diboncengnya terlelap ketika memandu, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Sebuah video merakam detik mangsa tercampak dimuat naik oleh seorang pengguna di aplikasi TikTok.
Ia menunjukkan wanita tersebut tercampak dari jejantas di persimpangan Ratchayothin, daerah Chatuchak sekitar pukul 7 pagi (waktu tempatan) semalam.
Mangsa terjatuh ke atas bumbung sebuah kereta yang sedang bergerak di jalan bawah jejantas itu.
Menurut beberapa saksi, penunggang teksi motosikal online itu melanggar penghadang jejantas yang menyebabkan penumpang terjatuh.
Penumpang wanita itu dilaporkan mengalami kecederaan serius, manakala penunggang teksi motosikal hanya mengalami kecederaan ringan dan tidak terjatuh dari jambatan, kata seorang saksi bernama Kai.
Tambahnya, kemalangan itu berpunca daripada penunggang motosikal yang mengantuk.
Polis daripada Balai Polis Phahonyothin berkata, mangsa merupakan seorang warganegara Myanmar dan kini menerima rawatan di sebuah hospital.
Sementara itu, penunggang teksi motosikal tersebut mengakui bahawa dia terlelap.
Dia kini didakwa mengikut Seksyen 390 Kanun Jenayah kerana melakukan perbuatan melulu sehingga menyebabkan kecederaan kepada orang lain. – AGENSI