fbpx
Reruai Sabah menjadi tumpuan pengunjunbg di Pameran Matta yang telah berlangsung pada bulan April di Kuala Lumpur. -Kredit foto Sabah Tourism Board

Reruai Sabah di pameran Matta bakal tawar baucar rebat, pelbagai promosi, pakej menarik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bersempena Pameran Matta yang akan berlangsung selama dua hari bermula 5 September ini, anjuran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), negeri Sabah telah dipilih sebagai Destinasi Kegemaran Malaysia menjadikan reruai negeri berkenaan menjadi tumpuan pengunjung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur.

Pelbagai promosi menarik akan menanti pengunjung bagi merealisasikan impian percutian pengunjung sambil dibantu oleh ramai ejen-ejen pelancongan dari Sabah

Persatuan Pelancongan Daerah Tambunan dan pengusaha minuman tempatan buatan Sabah iaitu UINAH juga akan turut serta di reruai berkenaan manakala Lembaga Pelancongan Sabah (STB)  menawarkan baucar rebat pelancongan dengan setiap pembelian pakej-pakej terpilih daripada mana-mana ejen dan hotel berdaftar dari Sabah.

Bagi mereka yang sedang mencari idea untuk pembelian pakej percutian di negeri di bawah bayu, Sabah menawarkan  kepelbagaian produk pelancongannya yang merangkumi pengalaman bersama alam semula jadi, budaya dan warisan, keindahan laut dan aktiviti pengembaraan.

Keindahan pemandangan alam dari puncak Pulau Bohey Dulang, Semporna -Kredit foto STB/ Emilie Crosasso

Pendek kata, Sabah sangat versatil dan bertuah dengan keindahan dwi alamnya, dari puncak Gunung Kinabalu yang megah hingga ke dasar laut Sipadan yang mempesona.

Gunung yang tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu mungkin  menjadi impian para pendaki untuk menawan puncak Low’s Peak tetapi sebenarnya terdapat dua lagi  gunung tertinggi iaitu Gunung Trusmadi dan Gunung Sinsing.

Kedua-dua gunung ini semakin mendapat perhatian dalam kalangan pendaki tempatan kerana cabaran laluan pendakiannya yang dikhabarkan lebih sukar berbanding Gunung Kinabalu.

Uniknya, sepanjang denai pendakian, pendaki dapat melihat perubahan kanopi hutan yang menunjukkan keindahan alam semulajadi dan peluang untuk melihat pemandangan karpet awan putih di puncak.

Selain itu, keindahan biodiversiti negeri Sabah juga memberi peluang kepada pencinta alam untuk menghargai kepelbagaian flora dan fauna. Kawasan pantai timur Sabah seperti Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu dan Tawau merupakan destinasi terbaik untuk memerhati hidupan liar serta spesies endemik yang unik di rantau ini.

Pengunjung berpeluang melihat secara lebih dekat hidupan liar ikonik seperti orang utan, monyet belanda, beruang madu, gajah borneo, burung enggang dan bermacam- macam lagi yang tentunya menggamit pengalaman yang mendebarkan dan menimbulkan perasaan cinta terhadap alam yang masih terpelihara.

Antara keistimewaan negeri Sabah adalah pelancong dapat melihat dengan lebih dekat gelagat orang utan di Pusat Rehabilitasi Orang Utan di Sepilok,Sandakan, Kredit foto STB/ Emilie Crosasso

Selain itu, peluang  membawa keluarga mengunjungi destinasi seperti Pusat Rehabilitasi Orang Utan Sepilok, Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo dan kawasan perlindungan seperti di Hutan Simpan Tabin dan Taman Bukit Tawau perlu direbut oleh semua pengunjung.

Pelawat bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam tetapi juga mendapat manfaat ilmu pengetahuan dan pendedahan kepada usaha konservasi hidupan liar dari renjer atau pemandu pelancongan tempatan yang terlatih.

Keindahan hidupan alam di Sabah tidak hanya tertumpu di darat malah juga terkenal dengan tarikan dasar laut yang mengagumkan ramai peminat selam dari seluruh negara. Negeri ini dikelilingi oleh pulau-pulau yang menarik seperti Pulau Tiga, Pulau Mantanani, Taman Marin Tunku Abdul Rahman, Taman Marin Tun Mustapha, Pulau Selingan dan Taman Marin Tun Sakaran.

Tempat-tempat ini mempunyai kelebihan tersendiri sesuai untuk aktiviti snorkeling atau selam skuba.

Misalnya Pulau Tiga terkenal dengan gunung berapi lumpur manakala Pulau Selingan dikenali sebagai kawasan penyu bertelur dan penetasan anak penyu. Ketenangan dan pemandangan laut biru di pulau-pulau ini pastinya menimbulkan rasa suka dan kepuasan kepada sesiapa yang melancong di sini.

Perjalanan ke Tahas Tininting, Nabawan antara destinasi pelancongan di kawasan pedalaman yang semakin mendapat tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. -Kredit foto STB.

Di samping itu, STB juga giat memasarkan produk pelancongan komuniti yang semakin berkembang.

Mengambil peluang keindahan alam semulajadi Borneo, penduduk kampung terutamannya di kawasan pendalaman, semakin menyahut inisiatif kerajaan untuk membangunkan kawasan mereka sebagai destinasi pelancongan luar bandar melalui latihan berterusan dan geran bantuan.

Usaha ini bukan sahaja memupuk semangat muafakat dalam kalangan komuniti untuk memelihara ekosistem alam sekitar, malah membantu menjana sumber ekonomi dengan peluang pendapatan dan pekerjaan dalam industri ini.

Pelancongan luar bandar juga sekali gus menjadi peluang untuk pelawat mengenali secara lebih dekat budaya dan warisan orang asli Sabah.

Contohnya, produk pelancongan Tahas Tininting di Kampung Salinatan, pendalaman Nabawan memberikan pengalaman tinggal di rumah panjang komuniti Murut Tahol manakala  inap desa di Kampung Sunsuron, Tambunan pula membolehkan pelancong merasai gaya hidup komuniti suku kaum dusun termasuklah mencuba makanan dan tarian tradisional mereka.

Secara keseluruhannya, pelancongan berasaskan komuniti bukan sahaja memperkaya pengalaman pelancong dengan keindahan fizikal sesuatu tempat, tetapi juga memupuk kesedaran terhadap pelancongan yang bertanggungjawab, mampan dan menjaga kelestarian alam dan budaya.

Sabah sememangnya sebuah destinasi pelancongan yang versatil. Keunikan geografi, kekayaan biodiversiti, kepelbagaian budaya serta semangat komuniti yang mesra menjadikan Sabah destinasi yang bukan sahaja indah, mesra malah kaya dengan nilai pengalaman.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI