MILAN – Inter Milan membuka kempen Serie A dengan penuh bergaya apabila membelasah Torino 5-0 di San Siro awal pagi tadi iaitu kemenangan terbesar mereka dalam aksi pembukaan sejak 1961.
Marcus Thuram menjadi watak utama dengan meledak dua gol, manakala Alessandro Bastoni, Lautaro Martinez dan Ange-Yoan Bonny turut mencatat nama di papan skor dalam aksi yang langsung tidak memberi ruang kepada benteng pertahanan Torino.
Inter tidak menunggu lama untuk menguasai perlawanan apabila Bastoni menanduk masuk sepakan penjuru pada minit ke-18 bagi membuka tirai jaringan.
Sembilan minit sebelum rehat, Petar Sucic melorongkan bola buat Thuram yang tenang menyudahkan peluang dari sudut sukar untuk menggandakan kedudukan.
Selepas itu, rentetan serangan bertali arus menyaksikan Lautaro menghukum kesilapan hantaran pertahanan Torino pada minit ke-52 sebelum Thuram melengkapkan malam cemerlangnya dengan tandukan hasil umpanan Bastoni.
Torino terus dihukum pada minit ke-72 apabila Denzel Dumfries memintas hantaran lawan sebelum Bonny menyempurnakan peluang mudah untuk melengkapkan pesta lima gol.
“Menang tanpa bolos sangat penting untuk permulaan musim. Kami belum 100 peratus, tapi kemenangan ini bukti kami berada di landasan betul. Musim lalu sudah berlalu, ini kempen baharu dan kami belajar daripada pengalaman itu,” kata Thuram.
Bastoni pula menegaskan skuad itu datang dengan dahagakan kemenangan selepas mengharungi musim lalu yang sukar.
“Kami mahu buktikan kepada diri sendiri bahawa walaupun musim lalu berakhir sukar, semangat kami masih tinggi dan kami tetap lapar untuk menang,” ujarnya. – AGENSI