SEPANG- Satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu bakal diwujudkan bagi memudah cara operasi kawalan sempadan secara bersama bagi projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Februari depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, RUU itu akan memastikan kelancaran operasi, selepas kedua-dua negara bersetuju bahawa Bukit Chagar di Johor dan Woodlands North di Singapura akan menjadi lokasi bersama bagi stesen kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ).
Menurutnya, wujud keperluan untuk menggubal undang-undang baharu itu berikutan terdapat 37 akta sedia ada membabitkan sempadan yang perlu diubah.
“Kalau dah sampai 37 akta, dalam satu akta tu ada seksyen (peruntukan undang-undang) yang mesti kita patuhi bagi membolehkan satu sahaja keputusan bersama boleh berjalan iaitu co-located.
“Jadi, pilihan yang kita ada ialah buat satu RUU baharu dengan mengambil kira semua keperluan seksyen dalam akta sedia ada iaitu 37 (akta), jadi item terperinci itu saya akan umumkan bila tiba masanya.
“Buat masa ini memadai saya nak sebut pencapaian penting dari sudut sistem undang-undang, kita kena adakan satu undang-undang baharu bagi membolehkan apabila operasi RTS Woodland – Bukit Chagar bermula, pergerakan orang ramai dan barangan mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas melancarkan inisiatif Benteng Persada: Di Sempadan Kita Bersatu, di Persada Kita Bermaruah oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, undang-undang baharu itu diperlukan berikutan pelaksanaan kawalan sempadan secara bersama itu akan menyaksikan penempatan pegawai imigresen Malaysia di sempadan Singapura dan sebaliknya. – KOSMO! ONLINE