KUALA LUMPUR – Bank Rakyat International Marathon (BRJIM) 2025 menawarkan jumlah hadiah wang tunai keseluruhan yang lebih lumayan dengan peningkatan kepada AS$45,700 (RM194,760).
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi, Nizam Sani berkata, penambahan itu dibuat berikutan sambutan menggalakkan daripada peserta, sekali gus memperkenalkan tawaran hadiah khusus kepada pelari tempatan bagi kategori 42 kilometer (km) dan 21km serta acara terbuka bagi kategori 10km.
Beliau berkata, selain untuk meraikan pencapaian pemenang melalui ganjaran yang lebih menarik, inisiatif ini diambil sebagai pengiktirafan kepada pelari Malaysia yang kian menyerlah di pentas maraton, serta sebagai galakan untuk lebih ramai rakyat tempatan bersama-sama menyertai acara bertaraf antarabangsa ini.
“Kami percaya dengan adanya sokongan dan ganjaran seperti ini, peserta bukan sahaja lebih bersemangat untuk menonjolkan kemampuan mereka dan bersaing secara sihat, malah berpeluang mencipta rekod baharu yang mampu mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada sesi bersama media sempena BRJIM 2025 di sini hari ini.
Nizam berkata, setakat ini, lebih 3,000 peserta dari dalam dan luar negara telah mendaftar dan pihaknya menjangkakan penyertaan melebihi
8,000 peserta menjelang tarikh tutup pendaftaran pada 30 September depan.
“Acara maraton ini turut dimeriahkan menerusi penganjuran ’Bank Rakyat Sport Fest 2025’ yang akan diadakan selama tiga hari bermula 7 hingga 9 November depan, menghimpunkan pelbagai jenama sukan terkemuka seperti Voltra, Decathlon, Kahf, Al-Ikhsan dan banyak lagi.
“Festival ini dijangka menjadi tarikan utama kepada peserta dan pengunjung dengan pelbagai aktiviti sukan lain, serta tawaran
istimewa bagi barangan sukan,” katanya.
Selain itu katanya, SKS Hospitality yang merupakan rakan strategik penginapannya turut menyediakan tawaran istimewa khusus kepada peserta yang memilih Hotel Sheraton Johor Bahru, Hotel Holiday Inn Johor Bahru, Capri by Fraser Johor Bahru dan Fives Hotel Johor Bahru City Centre, termasuk Hotel Amari Johor Bahru sebagai lokasi penginapan.
“Antara tawaran istimewa yang disediakan termasuk, diskaun sebanyak 20 perauts untuk tempahan bilik, 20 peratus diskaun bagi makanan dan minuman di hotel terpilih, baucar diskaun untuk penginapan seterusnya serta banyak lagi.
“Bank Rakyat turut menjemput dan menggalakkan penyertaan murid sekolah rendah di sekitar negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang yang berminat untuk menyertai acara maraton ini menerusi kategori jarak larian 2km (Nuri Dash Run) bagi kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE