KANGAR – Pelaksanaan projek rintis pelantikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai warden di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat dan bekas anggota beruniform.
Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman berkata, meskipun hanya kurang 10 orang diperlukan untuk tugasan di dua MRSM terpilih, jumlah permohonan yang diterima mencecah hampir 500 orang.
“Alhamdulillah, sekarang ini kita telah mulakan dengan projek perintis di dua MRSM dan sambutannya sangat baik. Sambutan daripada bekas-bekas anggota beruniform pun sangat menggalakkan.
“Kita hanya nak pilih beberapa orang sahaja tetapi yang datang untuk temu duga jumlahnya sangat memberangsangkan sampai 500 orang,” katanya ketika ditemui di Himpunan Usahawan Perlis, di sini hari ini.
Beliau berkata, program itu dilaksanakan sebagai langkah menangani isu disiplin termasuk kes buli di MRSM, selain mengurangkan beban guru yang sebelum ini berperanan sebagai warden separuh masa.
“Usaha ini diakui sebagai satu cara yang berkesan untuk menangani isu semasa seperti kes buli.
“Buat masa ini saya tidak boleh kata ia berjaya atau tidak tetapi dalam tempoh terdekat sambutannya sangat baik, khususnya daripada ibu bapa dan pelajar,” jelasnya.
Ketika ditanya pemberita adakah pengambilan warden veteran tentera itu akan diperluaskan ke institusi pendidikan lain di bawah kendalian Mara, beliau memaklumkan, perkara itu masih di peringkat awal dan memerlukan pemerhatian lanjut.
“Jika projek rintis ini berjaya, ia mungkin akan diperluaskan ke semua MRSM di seluruh negara.
“Sekarang ini fokus kita hanya kepada MRSM terlibat dahulu. Insya-Allah jika program ini berjaya, kita akan laksanakan di semua MRSM pada masa akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE