JOHOR BAHRU – Seorang pegawai berpangkat Inspektor dan dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM12,300 agar tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori sawit, dua tahun lalu.
Ketiga-tiga tertuduh, Inspektor Deris Jerman, 43, Koperal Mohd. Fahmee Mohd. Top, 37, dan Lans Koperal Muhammad Taufiyqul Hakim Mohd. Zaki, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, Deris bersama Mohd. Fahmee didakwa atas lima pertuduhan bersetuju menerima dan memperoleh rasuah daripada tiga individu sebagai dorongan agar tidak menyita lori dan tidak menjalankan siasatan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 26, Jalan Nitar, Mersing dan Maybank Cawangan Mersing antara pukul 3 petang hingga 5.52 petang pada 30 November 2023. Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sementara itu, Muhammad Taufiyqul didakwa meminta wang suapan RM800 agar tidak menyita lori dan tidak menjalankan siasatan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Kilometer 26, Jalan Nitar, Mersing pada pukul 12.30 petang, 19 November 2023. Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Alice Voon Mei Ling manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias. Kes disebut semula pada 30 September ini. -KOSMO! ONLINE