fbpx
Sebanyak 16 buah negara termasuk China, Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun berentap dalam pelbagai acara sukan pada Kejohanan Robot Humanoid Dunia 2025 di Beijing baru-baru ini.

500 robot dari 16 negara bersaing acara sukan Kejohanan Humanoid Dunia 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERTARUNGAN antara robot humanoid dianggap sebagai simbol masa depan dan perkembangan teknologi dalam filem Hollywood seperti Real Steel, Alita: Battle Angel dan Pacific Rim.

Bagaimanapun, hal itu bukan lagi satu perkara luar biasa apabila China mengejutkan dunia teknologi dengan penganjuran acara sukan melibatkan robot humanoid dari pelbagai negara.

Sebanyak 16 buah negara termasuk China, Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun berentap untuk merebut gelaran juara pada Kejohanan Robot Humanoid Dunia 2025 di Beijing baru-baru ini.

Menerusi acara tersebut, kira-kira 500 robot pelbagai saiz mempamerkan kemampuan kecerdasan buatan (AI) di Stadium National Speed Skating Oval.

Antara acara yang dipertandingkan adalah lumba lari, bola sepak, cabaran keseimbangan, seni bela diri dan tinju.

Menurut NBC News, pertandingan ala Olimpik itu diinspirasikan daripada temasya sukan manusia yang mengetengahkan pelbagai acara berbentuk fizikal, namun diubah suai untuk robot humanoid.

Walaupun sebilangan robot kelihatan masih kaku dan sesekali terjatuh di gelanggang, namun penonton tetap menyifatkan itu sebagai satu pencapaian luar biasa dalam usaha mendekatkan teknologi dengan kehidupan seharian manusia.

Berbeza dengan acara sukan biasa, tumpuan tidak diberikan kepada catatan masa paling cepat.

Sebaliknya, fokus diberikan kepada kemampuan robot untuk kekal ‘hidup’ sehingga ke garis penamat atau mengikut tempoh masa ditetapkan dan kemampuan fungsi AI.

Menerusi ucapan Pengarah Hal Ehwal Antarabangsa, Jordan Zhou, beliau memberitahu, matlamat kejohanan sukan robot itu adalah untuk membina peraturan standard global.

“Kami ingin menyatupadukan dan memupuk kerjasama antara pelajar universiti, pemain industri serta komuniti penyelidik dalam pembangunan robot humanoid.

“Kejohanan ini juga untuk melihat kemampuan barisan pereka dan robot dalam memenuhi keperluan manusia di pelbagai bidang,” ujarnya kepada media tempatan, CN News.

Jordan memberi ucapan kepada para peserta yang terlibat dalam Kejohanan Robot Humanoid Dunia 2025.

Bukan sekadar menyaksikan perlawanan sukan, malah terdapat pertunjukan robot melakukan pekerjaan di kedai ubat, kilang dan mengemas hotel.

Menurut CNBC, robot perlu menyempurnakan cabaran seperti menyusun barang mengikut senarai, memungut sampah, mengemas katil dan mengambil ubat tanpa menjatuhkan barang lain.

Bagaimanapun, cabaran terbesar kebanyakan robot adalah membuka dan menutup pintu menggunakan kunci.

Penonton juga kelihatan terhibur menyaksikan beberapa robot terjatuh akibat kegagalan fungsi.

Biarpun diadakan dalam bentuk kejohanan, namun tiada pemenang utama diumumkan dalam acara itu.

Hal ini kerana ia masih dianggap sebagai ujian dan pertandingan terbuka.

aksi robot-robot ketika acara perbarisan kontinjen Kejohanan Robot Humanoid 2025 di Beijing, China baru-baru ini.

Namun, pasukan Unitree Robotics muncul sebagai pemenang pingat emas pertama apabila robot mereka, Unitree H1 berjaya menduduki tempat pertama dalam perlumbaan 1,500 meter dengan catatan masa 6 minit 34 saat.

Sementara itu, wakil pasukan StarBot yang merupakan syarikat teknologi berpangkalan di California, Amerika Syarikat, Gregorio Velasco mengakui teruja apabila berpeluang mempamerkan kemampuan negaranya.

Ujarnya, kejohanan itu menjadi medan terbaik buat mereka mempertaruhkan kemampuan dan kemahiran dalam membina robot humanoid.

“Kami fikir, ini adalah peluang yang sangat baik untuk datang ke China, dan berada dalam persekitaran, di mana segala-galanya tentang masa depan.

“Kami berharap, robot ini akan digunakan di kediaman, restoran mahupun hotel. Saya fikir pada masa hadapan akan ada lebih ramai orang terbuka untuk melibatkan robot dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

Sementara itu, robot milik StarBot dibangunkan berdasarkan model Unitree buatan China yang bersaing dalam perlumbaan berkaitan perkhidmatan dan perhotelan.

Bagi acara tai chi, pakar seni mempertahankan diri Zhang Jidong berkata, satu pergerakan perlu diulang berkali-kali sebelum robot dapat melakukannya dengan stabil.

“Robot perlu bergerak mengikut irama muzik. Menerusi pemerhatian, ada robot yang tidak dapat melakukan pergerakan seperti diinginkan.

“Boleh dikatakan, bahagian atas badan robot sangat lancar, namun untuk pergerakan seiring dengan bahagian bawah, banyak lagi yang perlu diperbaiki,” katanya.

ACARA tinju turut diadakan.

Berlangsung selama tiga hari, pertandingan tersebut dilihat sebagai bukti kemampuan teknologi kejuruteraan robot yang sebelum ini dilihat sebagai mekanisme untuk membantu juri di acara sukan manusia.

Kecepatan mesin menangkap gambar mengikut masa nyata, mencatat masa dan menentukan sama ada bola masuk atau keluar menjadi sebahagian daripada tugas robot.

Namun kini, mesin yang sebelumnya dianggap sebagai ‘anggota pintar’ mengambil posisi sebagai atlet yang beraksi dalam gelanggang tanpa melibatkan pengaruh emosi, kekuatan fizikal dan mental.

Walaupun kemampuan robot masih banyak perlu diperbaiki, namun masyarakat yakin bahawa acara sukan tersebut mampu melahirkan robot Olimpik pada masa depan.

Menurut pemerhati robot antarabangsa, John Davis, tidak mustahil dalam beberapa dekad akan datang, masyarakat akan menyaksikan acara sukan robot humanoid sebagai pertandingan rasmi di pentas global.

“Mungkin sekarang ini kita melihat robot sekadar inovasi teknologi digital atau sekadar hiburan semata-mata.

“Namun sedarlah, ini merupakan langkah pertama robot menjadi sebahagian daripada hidup manusia.

“Walaupun robot-robot ini masih jauh daripada kesempurnaan, namun setiap langkah terhuyung-hayang membawa mesej jelas bahawa masa depan teknologi adalah sesuatu yang hidup, dinamik dan penuh kemungkinan.

“Sama ada sebagai hiburan, alat pendidikan atau penyelesaian masalah sosial, robot humanoid kini melangkah ke pentas, dan kita semua adalah penontonnya,” katanya.

Kejohanan tersebut bukan sekadar mempamerkan kemampuan robotik, sebaliknya menjadi salah satu usaha pemerintah China untuk merapatkan jurang AI dengan Amerika Syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI