ROMPIN – Tiga maut selepas kereta yang dinaiki ketika pulang daripada menghadiri kenduri kahwin di Melaka bertembung dengan sebuah trak pikap di Kilometer 142, Jalan Kuantan-Seremban berhampiran Kampung Asli Bukit Serok di sini semalam.
Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu kereta Perodua Myvi, Aida Asmalia Abu Samah, 46, dan dua penumpang iaitu Siti Auni Syafiqa Sheikh Ali, 18, dan Chempaka Alara Azizi, 3.
Mangsa yang cedera parah ialah ibu Chempaka Alara, anak Aida Asmalia dan adik Siti Auni Syafiqa.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, nahas pada pukul 5.30 petang itu berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Kuantan.
“Setibanya di lokasi kejadian, kereta dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki lorong bertentangan dan melanggar trak pikap.
“Akibatnya pemandu kereta maut di tempat kejadian, manakala dua penumpang meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Muadzam Shah di sini,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, tiga lagi penumpang kereta cedera parah, manakala pemandu trak pikap pula patah kaki kanan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE